"Saya mahu berjaya dengan cepat. Kalau boleh nak segera naik ke atas tanpa melalui pengalaman kesukaran dan kesusahan. Nak cepat berjaya."
Inilah kata-kata seorang usahawan kepada saya pada pertemuan singkat hari ini. Beliau adalah seorang berjiwa besar yang baru berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan. Namun, pengalaman sehingga ke hari ini banyak mengajar beliau bahawa bukan mudah untuk menjadi usahawan berjaya. Banyak ranjau dan onak berduri yang harus di lalui. Menurut beliau, terdapat hari yang mana beliau begitu ceria, begitu bersemangat dan bermotivasi. Sebaliknya, terdapat juga hari yang mendung. Hari di mana semangatnya jatuh ke tahap yang paling rendah. Disebabkan emosi yang turun naik, kadang kala beliau berfikir dan berhasrat untuk berjaya dengan pantas dan pengalaman tidak berapa baik dapat di atasi dengan segera.
Komen Saya
Berdasarkan pengalaman jatuh bangun dunia keusahawanan, saya berpendapat 'Naik Tangga Mesti Dari Bawah'. Setiap anak tangga mesti dilangkah dengan gagah dan berhati-hati. Terdapat banyak liku-liku dan jika silap langkah, kemungkinan untuk jatuh tersungkur adalah tinggi. Jika terjatuh, jangan berputus asa untuk terus bangun dan melangkah naik semula. Juga, jika naik tangga, anda tidak boleh melangkah terlalu laju. Setiap langkah ada strateginya, setiap langkah ada pelajarannya kerana liku-liku yang bakal ditelusuri berbeza-beza walaupun anak tangga kelihatan sama dan serupa.
Tidak salah jika hendak menaiki tangga dengan laju, tetapi anda harus berhati-hati, takut-takut tergelincir atau tersilap langkah terlanggar anak tangga sebelum sempat meletakkan tapak kaki. Juga, jika ingin naik ke atas haruslah perlahan-lahan dengan mengenali setiap anak tangga. Sebelum menggunakan 'lift', kenalilah dulu anak-anak tangga untuk ke atas. Jika naik 'lift', anda terlepas peluang untuk mengenali setiap anak tangga dan pelajaran ketika menaiki anak tangga. Terlepas pengalaman mengenali setiap liku-liku, sudut-sudut di setiap tingkat. Memang anda akan cepat sampai ke atas dengan menaiki 'lift', tetapi anda tidak dapat mengecapi semua pengalaman yang saya perkatakan tadi.
Apa akan terjadi sekiranya 'lift' rosak? Atau, lebih kritikal sekiranya kabel 'lift' terputus dan tiada alat ganti? Sudah tentu sukar bagi anda untuk naik tangga ke atas. Anda telah merasai kesenangan menaiki 'lift', dan sudah pasti anda merasa penat dan perit untuk berusaha untuk naik ke atas menggunakan tangga kerana anda tiada pengalaman menggunakan tangga dan tidak kenal liku-liku dan sudut-sudut tangga. Sebaliknya, jika anda pernah menaiki tangga dan anda terjatuh ke bawah, sudah pasti anda dapat menaiki tangga semula dengan pantas dan gagah kerana anda telah kenal setiap inci anak tangga. Anda telah melalui liku-liku dan tingkat-tingkat anak tangga.
Analogi ini adalah serupa dengan usaha anda di alam keusahawanan. Setiap perniagaan harus dimulakan secara kecil-kecilan dan kemudian dibesar-besarkan.
Maka, naikilah setiap anak tangga. Telusurilah perjalanan menaiki anak tangga dengan berhati-hati. Alamilah dan pelajarilah setiap pengalaman dan cabaran dunia keusahawanan. Lengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran berkaitan. Hadapi segala cabaran dan dugaan menaiki tangga keusahawanan dengan gagah dan berani .
CABARAN DAN DUGAAN ADALAH ASAM GARAM KEHIDUPAN.
ZMS
No comments:
Post a Comment