Sunday, December 7, 2008

Impian Ke Puncak Jaya - Hasrat Seorang Rakan

Semalam, 06/12/2008 (Sabtu), saya dan keluarga bertandang ke rumah seorang rakan yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti tersohor tempatan, di Bangi Perdana. Kehadiran kami disambut mesra oleh keluarga 5 beranak dan seorang pembantu rumah Indonesia. Sebenarnya kami telah kenal lama iaitu sejak saya mengikuti program pengajian PhD. di Cardiff University, Wales, United Kingdom. Kenangan lama di UK masih segar di dalam ingatan terutamanya ketika menjadi pencuci atau panggilan mesra kami iaitu ‘Floor Manager’ atau ‘Floor Engineer’.

Kami bercerita tentang kenangan-kenangan manis hidup di perantauan. Pelbagai cerita menarik diperbincangkan. Dari cerita kehidupan lampau, kami bercerita tentang tugasan di dalam profesion sebagai pensyarah. Rakan saya mula membuka cerita tentang impian dan rancangannya untuk ke puncak jaya. Rupa-rupanya beliau mempunyai rancangan besar yang menggabungkan banyak disiplin ilmu. Rancangan besar, idea cemerlang dan masa depan yang cerah. Namun beliau perlu berhati-hati kerana banyak kepentingan yang terlibat dan pelbagai onak duri bakal menghalang perjalanan.

Dari pengamatan saya, beliau telah banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk berfikir dan terus berfikir bagi merancang dan menyusun strategi. Bagi menghasilkan sesuatu yang cemerlang memerlukan perancangan rapi dan tersusun. Apabila saya melihat kepada persediaan beliau, memang rakan saya bukan calang-calang orang. Walaupun beliau telah memiliki ijazah PhD, beliau masih menimba ilmu dengan cara mengikuti pelbagai kursus. Pendek kata, pencarian ilmu adalah tugas yang tiada penghujungnya. Usia, kedudukan, pangkat dan lain-lain bukanlah faktor penentu sama ada kita patut berhenti atau terus belajar. Sebenarnya, menuntut ilmu adalah tugas yang tiada noktah sejak kita dilahirkan sehinggalah kita meninggal dunia. Proses belajar akan terhenti apabila jasad kita dimasukkan ke dalam bumi. Selagi kita di atas muka bumi, tugas untuk menuntut ilmu tiada penghujungnya.

Sekiranya ilmu dimiliki, anda dan saya akan dapat berfikir dan terus berfikir bagi mengembangkan ilmu sedia ada dan mencambahkan idea untuk kebaikan semua. Semakin kita berilmu, semakin besar tanggung jawab untuk membantu masyarakat. Dengan ilmu, kita dapat memperbaiki cara kehidupan, mengubah nasib diri dan keluarga dan menyumbang kepada masyarakat.

Menuntut ilmu adalah tugas mulia dan hanya 3 perkara yang ditinggalkan oleh anak Adam yang pahalanya berterusan: [i] anak yang soleh, [ii] sedekah jariah, [iii] ilmu yang bermanafaat. Oleh itu, adalah suatu yang dituntut kepada setiap insan untuk terus menuntut ilmu. Janganlah kerana anda telah mendapat segulung, dua gulung, tiga gulung atau bergulung-gulung ijazah, anda mahu berhenti belajar dan berhenti membaca. Perjuangan mesti diteruskan tanpa henti. Bahkan kepentingan menuntut ilmu telah sekian lama ditekankan. ‘Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China’. Kenyataan ini bukanlah menuntut kita untuk pergi ke negeri China bagi menimba ilmu. Bagi orang dahulu kala, negeri China adalah tersangat jauh. Kita digalakkan untuk pergi sejauh mungkin sekiranya tempat tersebut terdapat ilmu yang kita masih belum mengetahuinya. Ini menggambarkan betapa pentingnya menuntut ilmu.


Formula kejayaan: Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin dan jangan berhenti walaupun kita telah mendapat pelbagai ijazah dari pendidikan formal.

Peringatan: Ilmu yang kita miliki hanyalah setitik dari air di lautan.

Galakan: Gunakan ilmu untuk memperbaiki kehidupan. Bantulah orang lain dengan ilmu yang ada dan sebarkan ilmu yang ada dengan ikhlas dan senang hati.

Formula: Belajar, belajar dan terus belajar selagi mata tidak tertutup selama-lamanya.

ZMS

No comments:

Post a Comment