Saturday, December 13, 2008

Ulasan BARIS #4 Puisi "Aku Tidak Memilih Untuk Menjadi Insan Biasa"

Baris #4: Aku tidak rela menjadi warga yang terkongkong, rendah diri dan dipelihara oleh keadaan
Ramai di kalangan masyarakat lebih cenderung untuk hidup di dalam keadaan selesa. Tidak kurang pula yang sering merasa rendah diri dan enggan menunjukkan keupayaan serta kemampuan diri. Mereka suka merujuk diri mereka sebagai "orang biasa-biasa aje!" Lantas, mereka tidak mensasarkan perubahan di dalam kehidupan. Inikan pula untuk berjuang di alam perniagaan yang serba mencabar. Bagi mereka, apa yang diperolehi adalah mencukupi, walaupun hakikatnya ramai di antara mereka bergantung hidup kepada wang pinjaman peribadi. Selepas beberapa tahun, mereka pun membuat 'roll over', di mana meminjam lebih banyak lagi dan wang pinjaman yang diperolehi digunakan untuk menutup lubang lama (pinjaman lama). Sampai bila mereka ingin berkeadaan sebegini? Setidak-tidaknya lakukan sesuatu untuk memperkukuhkan ekonomi diri dengan melakukan pelbagai usaha seperti menjadi usahawan insuran, MLM, peniaga kecil-kecilan dan lain-lain di luar waktu pejabat.
a
Apabila diri dibelenggu hutang dan pelbagai masalah lain, hidup individu tersebut terkongkong oleh keadaan. Sekiranya krisis ekonomi melanda dan perubahan pasaran berlaku seperti kadar faedah meningkat, taraf hidup naik dan sebagainya, hidup mereka mula dihimpit keadaan. Berlakulah keadaan di mana salah menyalahkan pemerintah, golongan peniaga ataupun mula merintih pada diri dan menyalahkan keadaan. Untuk keluar dari keadaan ini, lakukan sesuatu untuk memerdekakan diri. Usahakan sesuatu yang dapat meningkatkan martabat diri dan boleh dengan megah mengatakan kepada semua bahawa anda 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah'. Lantas, setiap insan tidak perlu lagi merendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat.
a
Dari pengamatan saya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup susah di negara yang kaya. Walaupun mempunyai pekerjaan tetap tetapi hidup di bawah paras kemiskinan. Tidak kurang pula yang bergantung kepada subsidi kerajaan. Subsidi itu, subsidi ini... pelbagai jenis subsidi. Tidak perlu saya nyatakan apa subsidinya. Tetapi yang jelas, terlalu banyak subsidi yang diberikan atau diterima. Lantaran itu, hidup golongan masyarakat ini terkongkong dan banyak bergantung kepada keadaan.
a
Situasi ini perlu diubah. Setiap insan harus keluar dari kepompong ini dan berusaha dengan gigih untuk menjadi insan yang bukan 'biasa-biasa'. Jadilah insan luar biasa. Ini pilihan anda. Kejayaan adalah satu pilihan yang boleh dibuat oleh setiap insan. Kejayaan bukanlah diwarisi. Ianya boleh dicipta melalui usaha gigih di dalam pelbagai bidang. Telah banyak contoh di mana anak bangsawan, jutawan dan hartawan, menjadi papa kedana apabila bapa atau ibunya yang hebat telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Anak yang tinggal ini mewarisi harta-harta yang banyak tetapi tidak pandai mengurus dan melipat gandakannya. Yang mereka tahu ialah untuk menghabiskannya atau melingkupkannya. Maka, terbuktilah bahawa kejayaan bukanlah suatu yang diwarisi. Kejayaan adalah suatu ciptaan oleh insan-insan hebat. Insan hebat itu adalah anda yang pandai menggunakan minda atau akal fikiran untuk kejayaan diri.
a
Apabila anda menjadi insan luar biasa, kehidupan anda tidak lagi terkongkong dan dipelihara oleh keadaan. Anda boleh membuat pilihan apa yang anda kehendaki. Apapun yang terjadi pada pasaran atau persekitaran, anda boleh menyesuaikan diri. Juga, tidak akan wujud lagi situasi di mana anda merendah diri dan takut untuk bersaing.
a
Saya fikir... anda berfikir... kita fikir-fikirkan...
a
ZMS
a

No comments:

Post a Comment