Monday, December 8, 2008

Nota #3: Mimpi-Mimpi Indah @ Mimpi Hebat

Zaman saya kecil dahulu, orang tua-tua selalu menegur agar jangan banyak berangan-angan atau bermimpi seumpama angan-angan Mat Jenin. Menurut mereka angan-angan terlalu banyak tidak bagus untuk diri kita. Sebenarnya, pandangan ini tidak tepat dan menyimpang dari konsep kejayaan. Adalah digalakkan bagi setiap orang menyimpan cita-cita, mimpi-mimpi indah atau angan-angan yang tinggi melangit. Setiap insan harus mengimpikan dan mensasarkan pencapaian yang lebih baik dari apa yang dicapai pada hari ini. Bak kata-kata semangat, 'hari ini adalah lebih baik dari semalam. Esok lebih baik dari hari ini.'

Untuk tujuan ini, anda harus menolak pemikiran selangkah atau dua langkah ke hadapan. Apabila impian besar atau indah telah diletakkan, anda harus berusaha dan terus berusaha untuk mencapainya. Segala aktiviti dan perbuatan akan terarah kepada pencapaian mimpi-mimpi indah. Apabila terdapat tekanan untuk lebih maju, minda akan mula bekerja untuk mengeluarkan idea-idea kreatif dan inovatif. Dengan kata lain, impian besar atau indah akan memberi inspirasi kepada diri untuk bekerja bagi mencapainya.

Cerita Benar Berkenaan Mimpi Indah
Pada usia muda, Bill Gates dan rakan mempunyai mimpi indah untuk membuka pasaran perisian (software) komputer dunia dan beliau dengan beraninya memberitahu pengurusan MITS bahawa perisian ciptaan beliau mampu beroperasi di dalam komputer syarikat tersebut yang bernama ALTAIR. Berikut ialah petikan penulisan saya di dalam buku terkini berkaitan isu mimpi indah Bill Gates:


"Bill Gates memang seorang yang kreatif, pintar, berani dan mempunyai yakin diri yang tinggi. Beliau terus menghubungi syarikat pembuat Altair iaitu Micro Instrumentation and Telemetry Systems (MITS). Tanpa ragu-ragu, Bill Gates memberitahu MITS bahawa beliau dan Paul Allen telah membangunkan perisian BASIC untuk Altair. Sebenarnya, BASIC adalah suatu yang belum wujud. la hanyalah angan-angan atau rancangan masa depan Bill Gates sahaja. Tiada apa yang telah dibangunkan, walau sebaris program masih belum ditulis! Mendengarkan dakwaan Bill Gates, Presiden MITS, Ed Roberts amat berminat untuk melihat perisian BASIC yang dikatakan oleh Bill Gates."
l
Pada ketika beliau membuat dakwaan tersebut, tiada sebaris atau satu program perisian komputer dibina lagi. Hanyalah sebuah mimpi indah yang didasarkan kepada keyakinan dan kemampuan diri. Mimpi indah ini telah mengubah kehidupan Bill Gates selama-lamanya.
l
Jika anda membaca buku 'Chicken Soup for the Soul' tulisan Jack Canfield dan Mark V. Hansen, terdapat satu cerita berkenaan mimpi indah yang menjadi kenyataan. Ceritanya begini, seorang budak yang juga merupakan anak kepada pelatih kuda bersama rakan sekelas telah diminta membuat karangan berkenaan masa hadapan yang diimpikan oleh mereka. Budak ini telah menulis impiannya untuk memiliki sebuah ladang kuda bersaiz 4,000 ekar (jika saya tidak silap. Saya akan rujuk semula) dan karangan beliau lengkap dengan lukisan pelan ladang yang diimpikan berserta kedudukan rumah banglo. Keesokan harinya, beliau menyerahkan tugasan tersebut. Apabila gurunya membaca dan menyerahkan kembali tugasan tersebut, budak itu terkejut menerima gred F bagi tugasannya. Komen gurunya ialah adalah mustahil bagi budak itu untuk memiliki harta sebegitu kerana budak itu datang dari keluarga miskin. Apabila budak itu pulang ke rumah dan berbincang dengan bapanya, nasihat yang diterima dari bapanya ialah budak itu harus berfikir betul-betul kerana ketika itu adalah masa yang sangat penting dalam hidupnya. Pada keesokan hari, budak itu mengatakan kepada gurunya bahawa beliau akan tetap dengan impiannya dan guru itu boleh menyimpan gred F tersebut.
Tahukah anda.... pada musim panas berpuluh tahun selepas kejadian itu, gurunya telah datang dan membawa sekumpulan pelajar ke ladang yang diimpikan oleh budak itu. Pada ketika tersebut, budak yang telah dewasa itu telah berjaya menggapai impiannya. Pada akhir lawatan tersebut, guru iu menyatakan beliau telah banyak merampas impian dan cita-cita ramai kanak-kanak.
Kisah ini adalah kisah benar yang terjadi di US. Ambillah iktibar dari kisah ini.
ZMS

No comments:

Post a Comment