Saturday, December 6, 2008

Ulasan BARIS #3 Puisi "Aku Tidak Memilih Untuk Menjadi Insan Biasa"

Baris #3: Kini aku mencari-cari peluang bukan perlindungan
Peluang untuk melakukan sesuatu seperti mendapatkan duit lebih, sentiasa ada di sekeliling kita. Terpulang kepada diri untuk berfikir dan memilih peluang tersebut. Jika anda memilih untuk menjadi insan luar biasa, anda akan sentiasa mencari peluang bagi memperbaiki diri. Peluang yang mempertingkatkan pencapaian diri, yang anda mampu berbangga apabila mencapainya.

Sebaliknya, ramai orang hidup miskin di sebuah negara yang kaya seperti Malaysia. Hidup miskin bukan sahaja bererti miskin wang ringgit, ianya meliputi miskin idea dan sebagainya. Lihatlah di sekeliling anda. Ramai di kalangan masyarakat masih terfikir-fikir tentang nasib mereka. Merayu-rayu bantuan, baik berbentuk wang ringgit, mahupun bantuan dalam bentuk sokongan tertentu. Perhatikan peminta sedekah di sekeliling kita, sebahagiannya segar bugar... muda remaja dan bertenaga. Tanpa segan silu mereka meminta bantuan. Jika dilihat dan diamati, mereka sebenarnya berupaya untuk berusaha bagi mendapatkan rezeki atas titik peluh sendiri. Ramai juga yang memohon perlindungan pihak berkuasa seperti meminta subsidi atas usaha-usaha tertentu, meminta peruntukan dan lain-lain. Apabila bantuan dihulurkan, mereka menggunakannya dengan cara tidak produktif. Setelah bantuan, pertolongan dan perlindungan habis, permohonan baru dibuat. Kitaran kehidupan ini diteruskan dan entah bila noktah akan diletakkan. Sekiranya penyakit meminta-minta ini merebak kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara, nescaya kita akan dipaksa menerima dan mengakui segala perbuatan oleh pemberi perlindungan. Atau dengan kata lain, kehidupan kita akan dijajah dan segala hak bersuara dan hak-hak lain akan dijajah. Perhatikan betapa bahayanya jika hidup kita bergantung kepada perlindungan atau pertolongan pihak lain.

Oleh itu, adalah lebih mulia sekiranya kita mencari peluang untuk memperbaiki kehidupan diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Hidup kita akan bebas... sebebas-bebasnya. Tidak perlu kepada perlindungan pihak lain. Pelbagai peluang yang kita ingini ada di sekeliling kita. Kejar, ambil dan gunakan peluang yang ada. Peluang untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan sebagainya bakal meningkatkan martabat kita. Sebagai insan luar biasa, peluang yang diambil akan mempastikan anda berada di dalam keadaan lebih baik dari hari sebelumnya. PASTI ANDA BOLEH, JIKA ANDA FIKIR ANDA BOLEH. Peluang lebih baik dan mulia dari perlindungan!

ZMS

No comments:

Post a Comment