Sebagai insan biasa, kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Cuma, yang berbeza antara individu dengan individu lain ialah saiz kesalahan yang dilakukan iaitu sama ada kesalahan tersebut besar, sederhana atapun kecil. Tidak ada manusia yang sempurna yang tidak sama sekali melakukan kesilapan atau kesalahan. Maka, sekiranya anda melakukan kesalahan, anda adalah manusia normal yang sama seperti manusia lain.
Apabila anda melakukan kesalahan sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan, anda harus berfikir sejenak dalam keadaan yang rasional. Apakah akibat dari tindakan anda? Fikirkan sedalam-dalamnya, dan dengan hati yang terbuka, anda harus menerimanya. Sebagai contoh, cuba anda fikirkan permasalahan di bawah.
Masalah: Adlin telah melakukan kesilapan pembuatan keputusan di dalam tugasnya sebagai pengurus Syarikat WhyNot Berhad. Kesilapan yang dilakukannya telah menyebabkan beliau bingung dan buntu. Adlin menjadi sukar untuk tidur dan tidak lalu untuk makan. Beliau sering berada di dalam ketakutan. Takut-takut dibuang kerja dan lebih teruk lagi diminta membayar ganti rugi RM500,000 kerugian yang dialami. Kadangkala, beliau menjadi tidak menentu di dalam memandu kereta kerana terlalu risaukan masalahnya.
Di dalam masalah di atas, kerisauan yang dihadapi oleh Adlin telah mengganggu keseluruhan kehidupannya. Tetapi adakah Adlin mampu mengubah kesilapannya yang lalu? Jawapannya ‘tidak’. Juga, adakah Adlin pasti apakah yang bakal berlaku ke atas dirinya. Jawapannya ‘tidak’. Seterusnya, adakah Adlin pasti keseluruhan kesilapan tersebut akan dipertanggungjawabkan ke atasnya? Jawapannya ‘tidak’. Di dalam kes ini, adakah perlu bagi Adlin berada di dalam kebimbangan? Mungkin ‘Ya’ dan mungkin ‘Tidak’.
Jika diamati situasi yang dihadapi oleh Adlin, pengurusan Syarikat WhyNot Berhad masih belum mengambil apa-apa tindakan. Hanya Adlin merasakan dirinya bersalah atau akan dipersalahkan. Maka, Adlin sedang bermain-main dengan emosinya. Perasaan dalamannya sedang berperang dengan dirinya sehinggakan Adlin tidak lalu makan dan tidur.
Adalah dicadangkan Adlin mengaplikasikan formula yang dicipta oleh Carier. Adlin perlu bertanya kepada dirinya ‘Apakah situasi paling buruk yang akan dihadapi olehnya?’ Berkemungkinan Adlin akan dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin dan didapati bersalah atas kesilapan tersebut. Mungkin beliau akan dibuang kerja dan dikehendaki membayar RM500,000. Inilah keadaan yang paling buruk yang akan dihadapinya. Langkah seterusnya, Adlin perlu bersedia menerima keadaan paling buruk ini dengan hati terbuka.
Apabila Adlin bersedia untuk menerima kesan yang paling buruk dengan lapang dada, sudah pasti segala kebimbangan yang menghantui kotak pemikirannya akan lenyap. Sebenarnya, kebimbangan dan kerisauan tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Apabila kebimbangan mengawal pemikiran, segala tindakan dan usaha untuk memperbaiki keadaan tidak akan dapat dilakukan. Adlin harus sedar sekiranya beliau bersedia menerima kesan paling buruk yang akan terjadi, kehidupan akan diteruskan. Tiada apa yang lebih buruk yang akan berlaku seperti beliau tidak akan ditembak, tidak akan dipenjara atau tidak akan dihukum mati! Dengan bersedia menerima kesan yang paling buruk, Adlin akan dapat berdiri dan bersedia dengan langkah-langkah seterusnya untuk menghadapi kehidupannya. Sebaliknya, jika Adlin tidak disabitkan dengan kesalahan tersebut, beliau tidaklah membuang masa dan tenaga berfikir dan bingung dengan masalah yang dihadapinya.
Kebimbangan tidak akan memberi apa-apa pulangan bermakna. Jika anda melayan kebimbangan, anda akan duduk bermuram, berfikir dan terus berfikir hingga memeningkan kepala. Berkemungkinan kesihatan anda akan terganggu dari kebimbangan dan kebingungan yang ekstrem. Anda akan mula menjadi pemarah dan akan melepaskan geram tidak tentu fasal sehinggakan orang yang tersayang atau rakan-rakan akan terkena tempiasnya. Anda mungkin menengking, menyindir atau melakukan kelakuan yang tidak sepatutnya kepada mereka. Mengapa perlu mereka terbabit di dalam permasalahan ini? Sikap sebegini tidak akan membawa kepada sebarang faedah, sebaliknya mewujudkan musuh atau menyebabkan orang yang hampir kepada anda berkecil hati. Sepatutnya anda meluahkan perasaan atau berkongsi masalah dengan mereka.
Apabila anda telah berjaya mengatasi ego diri iaitu dengan hati terbuka menerima kesan terburuk dari kesalahan atau kesilapan, anda akan mendapat tenaga baru dan minda anda akan lapang. Anda bersedia untuk berfikir dengan lebih bijak tentang bagaimana anda dapat mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih cepat, tersusun dan berstrategi.
Berani Menghadapi Kesan Paling Buruk
Anda tidak perlu lari dari masalah yang dihadapi. Sebaliknya, anda harus berani untuk menghadapi sebarang kesan yang mungkin terhasil dari masalah atau peristiwa yang terjadi. Anda tidak perlu bersembunyi atau lari dari kenyataan. Anda harus berani menghadapinya. Berani untuk berhadapan dengan orang yang mungkin mengambil tindakan ke atas anda. Apabila anda berani menghadapi segalanya, masalah akan dapat diselesaikan.
Tetapi, apabila anda tidak berani menghadapi kenyataan, masalah akan bertimbun atau berkumpul dan menanti untuk anda selesaikan. Sama ada anda suka atau tidak, suatu hari nanti anda akan berhadapan dengan orang yang terlibat. Anda akan berhadapan dengan kesan dari tindakan anda. Hanya masa akan menentukannya. Oleh itu, apabila anda menghadapi sesuatu peristiwa yang tidak menyenangkan, aplikasikan formula Carier. Hadapilah kesan dari tindakan dengan berani, tenang dan rela hati.
Di dalam menghadapi kebimbangan, saya mencadangkan anda mengambil sehelai atau beberapa helai kertas A4 yang kosong dan senaraikan masalah yang dihadapi. Senaraikan satu per satu. Senaraikan dengan lengkap. Setelah disenaraikan, dengan jujur, senaraikan kesan yang paling buruk yang bakal dihadapi dari setiap masalah ini. Kemudian, sediakan diri untuk berani menerima semua kesan yang paling buruk. Setelah itu, senaraikan tindakan pembetulan atau tindakan untuk memperbaiki keadaan di sebelah setiap masalah dan kesan yang paling buruk di atas kertas A4 tadi. Jika anda tidak menyenaraikan isu-isu tersebut, anda akan membuang tenaga dan masa dengan duduk termenung dalam kebimbangan.
Sebelum saya menamatkan penulisan ini, fikirkan isu berikut:
Hukuman mati hanya akan dikenakan kepada:
Ø Pengedar dadah
Ø Pembunuh
Anda tidak layak untuk menerima hukuman ini, jika tidak melakukannya. Beranilah untuk menghadapi masalah kehidupan.
ZMS
Nota: Saya akan membincangkan cerita Mr Sandwich di Thailand di dalam artikel akan datang. Beliau adalah jutawan dan juga pelabur yang paling berjaya di Thailand. Walau bagaimanapun, beliau jatuh muflis ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98. Akhirnya, beliau menerima kenyataan kegagalannya dan mula bangun membina kehidupan di jalanan dengan menjual sandwich. Perniagaan kecil yang kemudian dibesarkan. Kata beliau "Lebih baik menjual sandwich di jalanan dari mati". Nantikan kehadiran artikel ini.
Tuesday, December 9, 2008
Mengatasi Kebimbangan dan Cara Mencapai Ketenangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment