Sunday, December 7, 2008

Kehebatan Dalaman Yang Tidak Diserlahkan

Di dalam diri setiap insan tersimpan kehebatan yang tidak diketahui oleh empunya diri. Kehebatan ini tersorok dan menanti-nanti untuk diserlahkan oleh setiap individu. Terpulanglah kepada empunya diri untuk mencari, mengejutkannya dan menariknya keluar agar dapat digunakan di dalam kehidupan harian. Sekiranya setiap insan dapat menemui kehebatan dan keunikan diri, pasti segala impian bakal menjadi kenyataan.

Anda harus mencari dan terus mencari. Bagaimana? Hanya anda sahaja yang dapat menemuinya. Orang lain hanya mampu memberi nasihat, tetapi mereka tidak dapat menemuinya. Oleh itu anda harus mencuba mencarinya dengan pelbagai cara kerana setiap insan adalah unik. Kegemaran, kelakuan, aktiviti, hobi, karier dan sebagainya adalah berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Sesuatu keunikan dan kehebatan yang ada pada diri seseorang adalah berbeza dengan orang yang lain. Maka, anda tidak boleh meniru dan melakukan sesuatu hanya disebabkan seseorang yang anda contohi telah berjaya. Bukan tidak boleh mencontohi orang lain. Telah ramai berjaya dengan mencontohi orang lain. Maksud saya di sini ialah anda harus mengenalpasti kehebatan diri supaya apabila anda melakukan sesuatu atau mencontohi seseorang, anda akan menggembelengkan kekuatan dan kehebatan diri untuk mengecapi kejayaan yang anda impikan.

Sebagai contohnya, seseorang yang telah berjaya di dalam sesuatu bidang mungkin mempunyai kekuatan atau kehebatan di dalam memberi ceramah dan mampu memukau kumpulan sasaran. Anda ingin mencontohi dan berjaya seperti beliau, namun, anda tidak mempunyai kehebatan yang dimiliki oleh idola anda. Maka, anda harus mengenalpasti kehebatan diri agar anda dapat menggembelengkan tenaga dan kehebatan diri untuk mencapai kejayaan serupa. Juga, jika seseorang mempunyai kehebatan di dalam sesuatu bidang, anda harus mencari kekuatan dan kehebatan diri dan melakukan sesuatu yang bersesuaian dengan diri anda.

Sekiranya anda ingin mengubah hidup dari seorang yang bergantung kepada gaji bulanan kepada pendapatan dari aktiviti lain, anda harus mengenalpasti apakah yang anda boleh lakukan dengan cara yang paling baik. Mungkin anda telah mencuba menjadi usahawan dalam bidang tertentu, tetapi masih gagal untuk berjaya. Ini menunjukkan anda melakukan sesuatu yang tidak anda minati atau terikut-ikut dengan cara dan kejayaan orang lain. Anda boleh mengikuti jejak langkah orang lain yang telah berjaya, tetapi anda harus mengenali kekuatan dan kehebatan diri terlebih dahulu. Setelah mengenalpasti kehebatan diri, anda harus mengaplikasikan kehebatan dan kecerdikan diri untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan diri.

ZMS

No comments:

Post a Comment