Tuesday, December 16, 2008

Menuntut Ilmu: Berhenti Apabila Dimasukkan ke Dalam Kubur

Renungan
Adakah anda harus berhenti makan dan minum apabila mencapai umur 40 atau 45 tahun? Mengapa saya mengajukan soalan sebegini? Setelah hidup sekian lama, mungkin anda telah makan dan minum secukupnya. Maka, anda tidak perlu makan dan minum untuk terus hidup. Bayangkan, jika sudah berumur 40 atau 45 tahun, anda telah makan selama ini. Sudah berlori-lori makanan dan minuman telah masuk ke perut anda. Mungkin anda patut berhenti makan dan minum selama 10 tahun kerana bekalan telah mencukupi.
a
Analisis
Antara jawapan yang akan keluar dari mulut anda ialah 'Sudah hilang akal ke dia ni sampai suruh saya berhenti makan dan minum selama 10 tahun'. Yang pasti, anda harus terus makan kerana badan anda memerlukan tenaga dari makanan dan bekalan air untuk terus sihat. Badan anda memerlukan pengambilan zat-zat, mineral dan gula untuk pertumbuhan. Juga, secara rasionalnya diet yang pelik dan tidak masuk akal dan skim menguruskan badan segera harus dielakkan kerana ianya memberi mudarat kepada badan.
a
Gambaran ini adalah serupa dengan pengambilan ilmu oleh minda seseorang. Minda akan hidup dan menjadi segar apabila sentiasa dibekalkan dengan ilmu. Minda anda tidak boleh direhatkan atau dihentikan pengambilan ilmu setiap hari. Jika ianya dihentikan, sudah pasti minda anda akan mati seumpama diri anda tidak mengambil makanan dan minuman apabila mencecah umur 40 atau 45 tahun. Anda tidaklah terlalu tua atau terlalu muda untuk belajar. Tetapi belajar mestilah dengan tujuan. Ada matlamat. Barulah anda tahu ilmu apa yang anda patut cari dan baca. Bukannya 'membabi buta' kerana sikap ini membuatkan anda jemu untuk menimba ilmu.
a
Anda akan belajar dengan membaca, memerhati dan dengan pelbagai cara lain, dan ilmu-ilmu ini dimasukkan ke dalam minda. Sekiranya input-input ini adalah positif, kesannya ke atas minda dan pemikiran anda adalah positif. Dan, ketahuilah bahawa jika input-input ke dalam minda adalah negatif, minda dan pemikiran anda akan menjadi negatif. Semua ini adalah suatu pilihan dan bukan paksaan mahupun warisan! Pilihan ilmu ini akan menentukan sikap dan cara anda bertindak.
a
Jika badan memerlukan pelbagai jenis zat dan vitamin, minda anda beroperasi dengan cara serupa. Semailah minda anda dengan ilmu-ilmu keagamaan atau spiritual yang merupakan zat-zat dan vitamin berguna untuk minda. Anda perlu menyemai minda dengan ilmu kerohanian. Ambillah masa membaca kita suci. Aktiviti ini mempunyai kesan yang positif dan sangat berkesan.
a
Pendek kata, proses pencarian ilmu tiada noktahnya. Menuntut ilmu akan hanya terhenti apabila anda mati, dikafankan dan dimasukkan ke dalam bumi. Selagi mata belum tertutup buat selama-lamanya, anda harus menuntut ilmu. Baca, membaca dan terus membaca...

a
ZMS

No comments:

Post a Comment