Sikap dan kelakuan pelajar-pelajar matang ini sememangnya berlainan dengan pelajar-pelajar yang jauh lebih muda. Sekali pandang, khalayak ramai boleh melabelkan mereka sedang membodek gurunya. Tetapi saya yakin mereka ikhlas. Orang yang telah matang ini sememangnya tahu dan pandai menghormati guru mereka. Gaya bertutur yang menarik dan bahasa yang manis digunakan. Walaupun pada ketika itu umur saya jauh lebih muda dari anak didik saya. Saya hanya berusia 29 tahun berbanding mereka yang berusia lebih 50 tahun.
Salah seorang dari mereka yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran Abang Mat yang mengikuti program Bacelor Sains Perhutanan yang akan bergraduat pada tahun berikutnya (tahun 2001) pada usia 55 tahun. Tergerak hati saya untuk bertanya Abang Mat tentang motivasi beliau belajar di saat-saat penghujung karier. Menurut beliau, ijazah yang bakal diperolehi bukanlah untuk dijaja bagi mendapatkan pekerjaan kerana beliau telah mempunyai pekerjaan tetap. Tambahan pula beliau akan bersara wajib pada tahun dianugerahkan ijazah tersebut. Tujuan beliau mengikuti program tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menimba ilmu dan juga untuk dijadikan contoh dan tauladan kepada anak cucu.
Abang Mat yakin bahawa masih belum terlambat untuk beliau belajar. "Usia bukanlah penghalang untuk mendapatkan pendidikan tinggi, Cikgu" kata Abang Mat. Perbincangan kami berterusan dan Abang Mat menceritakan bagaimana kesusahan dan kesempitan hidup telah menghalang beliau dari terus menjejakkan kaki ke menara gading ketika usia muda. Beliau datang dari keluarga sederhana yang bersaiz besar. Disebabkan kedudukan kewangan keluarga yang tidak mengizinkan, Abang Mat terpaksa terjun ke dunia pekerjaan setelah tamat pengajian sekolah menengah demi membantu menyara keluarga. Kini, setelah berkeluarga dan anak-anak beliau mampu berdikari, Abang Mat tidak mahu melepaskan peluang apabila cubaan mendapatkan tempat disambut baik.
Abang Mat menegaskan beliau belajar hanyalah untuk kepuasan diri. Tiada niat untuk kepentingan lain. "Cikgu, dah terlambat nak minta kerja... saya seronok belajar, walaupun kadang-kadang otak ni ada slow sikit. Harap Cikgu sabar dengan kerenah kami" kata Abang Mat secara berseloroh. Saya yakin beliau dan rakan-rakan pelajar matang jujur dan ikhlas. Mereka belajar bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Jauh sekali untuk riak apabila mendapat keputusan cemerlang. Dari pengamatan saya, pelajar matang ini ikhlas kepada ilmu dan tekun di dalam pengajian mereka.
Sering kali saya terserempak dengan mereka yang mengadakan perbincangan hingga ke lewat malam. Bahkan, mereka pernah menjemput saya untuk mengadakan kelas tambahan. "Cikgu, pada usia sebegini, otak agak perlahan, minta tunjuk ajar kami ok" kata beliau. Kuliah-kuliah saya sentiasa ceria dengan telatah-telatah murid-murid matang ini.
Jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang jauh lebih muda, mereka lebih berkeyakinan diri. Ini adalah kerana mereka mempunyai pengalaman bekerja dan berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Setiap isu berkaitan akan diperbincangkan dengan panjang lebar dan dikaitkan dengan pengalaman masing-masing. Mereka berkata "Cikgu, jika hendak kekal muda dan ceria, bergembiralah... cikgu kena ketawa dan berjenaka setiap hari. Lupakan masalah dan tekanan kerja". Mereka menambah, setiap individu tidak perlu hidup dalam keadaan tertekan dan terlalu serius terhadap kerja. Kebingungan dan resah hati akan memberi kesan kepada kesihatan diri dan kesannya kesihatan akan terganggu. Abang Mat menasihati saya agar jangan menyesali perkara-perkara yang telah berlaku. Beliau berkata "Cikgu, saya selalu cakap kepada rakan dan kenalan untuk mengejar impian dan jangan sekali-kali merasa usia sebagai penghalang untuk belajar dan berjaya".
Sejak dari semester tersebut hingga ke hari ini, saya sering berjumpa dengan pelajar-pelajar matang. Cara dan matlamat mereka sama.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Ikhlas kepada ilmu.
Kata Mutiara
"Semangat manusia tidak akan lumpuh.
Jika anda masih bernafas, anda boleh mengimpikan sesuatu"
-Mike Brown-
ZMS
No comments:
Post a Comment