Friday, December 5, 2008

Perlumbaan Mencari Wang di Malaysia

Semalam (5/12/08), saya mengendalikan kelas MBA seperti biasa, yang mana pelajar-pelajarnya terdiri dari warga tempatan dan antarabangsa. Saya yakin bahawa pelajar-pelajar saya adalah kumpulan yang hebat-hebat dan otak bergeliga. Perbincangan dua hala berkenaan topik-topik perakaunan, perniagaan dan ekonomi (umum) sentiasa ceria dengan idea-idea dan isu-isu dari saya dan mereka. Di waktu rehat, saya memerhati, mengamati dan memulakan perbincangan secara peribadi dengan beberapa pelajar, yang juga merupakan individu yang tidak boleh di pandang ringan.

1. Pelajar Iran
Pelajar ini adalah penuntut yang mengikuti kelas MBA yang dikendalikan oleh saya di dalam semester yang lepas. Bahasa inggerisnya agak baik dan 'slang' iran-englishnya (irenglish) tidak setebal pelajar-pelajar lain. Saya memulakan bicara 'Hi, how are you now?'. Seperti biasa, pelajar Iran yang 'respect' guru-gurunya akan membalas mesra dengan tangan di dada dan sedikit tunduk. Kami berbicara tentang kehidupan dan saya bertanya siapakah membiayai kos pengajiannya di Malaysia. Beliau membalas dengan menyatakan menggunakan dana sendiri. Saya sengaja meneka 'I'm sure you come from rich family!'. Beliau tersenyum dan berkata 'Sir, I do some business here'. Rupa-rupanya beliau melakukan pelbagai usaha untuk membiayai pengajiannya. Antara perniagaan yang mendatangkan hasil lumayan ialah pembangunan laman web dan rekabentuk laman web, kulit buku dan lain-lain yang berasaskan perisian komputer. Pelajar ini menyatakan pejabatnya ialah sebuah komputer riba di biliknya. Saya mula berfikir dan terus berfikir tentang anak bangsa Malaysia. Orang asing boleh datang ke sini dengan berbekalkan sedikit wang untuk memulakan kehidupan dan seterusnya menjalankan perniagaan untuk menyara kehidupan dan pengajian, tetapi bagaimana anak bangsa yang masih ketinggalan? Meminta-minta... bukan minta sedekah tetapi minta kerja, cari 'cable' untuk mencari kerja bagi meneruskan kehidupan. Bangsa asing datang ke Malaysia mampu memulakan sesuatu dan dapat menjala, menangguk dan mengaut wang di Malaysia. Dalam masa yang sama, beliau belajar di Universiti tersohor negara... universiti penyelidikan! Sudah tentu banyak masa dihabiskan untuk kuliah, menyediakan tugasan, perbincangan dan lain-lain, dan pada masa yang mencari wang untuk kehidupan. Kesimpulan rambang yang saya mampu lakukan ialah... di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kegigihan dan usaha tanpa mengenal jemu akan pasti membuahkan hasil. Kita semua dianugerahkan otak/minda, terpulanglah kepada diri sendiri untuk menggunakannya dengan kreatif dan inovatif.

2. Pelajar Malaysia
Setelah tamat kuliah... kira-kira jam 9.45pm, saya bertemu dengan seorang pelajar yang telah sms saya untuk bertemu selepas kuliah. Saudara Sayuti (012-3845179) adalah seorang pelajar yang juga membiayai pengajiannya sendiri. Beliau menjadi eksekutif di sebuah syarikat dan pada masa yang sama menjalankan perniagaan sendiri. Sebenarnya, tujuan beliau bertemu saya adalah untuk mendapatkan 15 naskah buku tulisan saya untuk beliau edarkan. Saya kagum dengan kesungguhan pelajar ini untuk meneruskan pengajian dengan pembiayaan sendiri. Bukan mudah... kos pengajian amat tinggi (kira-kira RM24,000 sepanjang pengajian). Buat masa ini beliau menjalankan perniagaan sendiri dan ingin mengedarkan buku saya dengan komisen yang dipersetujui. Pelajaran yang boleh diperolehi dari peristiwa ini ialah setiap insan jika ingin berjaya harus berusaha keras. Belajar untuk mendapatkan ilmu dan segulung ijazah sarjana meruntun usaha gigih tanpa mengenal jemu. Terdapat segelintir pelajar saya di semester-semester lepas yang berhenti separuh jalan kerana tidak mampu mengharungi dugaan dan cabaran 2 dalam 1 (belajar + kerja @ cari wang). Juga, pelajar yang tiada pembiayaan harus mencari duit sendiri... ini lebih besar dugaannya. Jika kita hidup di bawah tekanan dan tidak selesa (not in comfort zone), kita akan mampu melakukan sesuatu... otak akan menjadi lebih kreatif dan badan akan menjadi lebih cergas dan bertenaga untuk mencapai sesuatu yang diingini. Saya pasti semua orang yang berada di dalam situasi ini akan berusaha keras untuk mencapai tahap yang diingini. Tiada apa yang mustahil. Pasti boleh sekiranya anda berfikiran yang anda boleh.
l
Syabas untuk mereka. Semoga mereka maju jaya. Sebagai insan yang berdamping dengan pelajar-pelajar berjiwa besar, saya akan sentiasa membantu semampu mungkin. Galakan akan sentiasa diberikan.
l
Formula untuk lebih berjaya = Sentiasa hidup di bawah tekanan (zon tidak selesa)
l
Formula = Sentiasa tetapkan matlamat lebih tinggi dan berusaha mencapainya. Selepas mencapai matlamat, tetapkan matlamat baru yang lebih tinggi lagi.
l
ZMS
l
l

No comments:

Post a Comment