Kita sering dilanda kebimbangan. Bimbang dan gusar di dalam hati. Bimbang jika produk yang kita jual tidak boleh diterima orang di hari-hari mendatang. Bimbang jika bakal pelanggan tidak boleh menerima diri kita seadanya. Bimbang yang berkaitan dengan peristiwa lampau yang menimpa diri kita. Bimbang tentang sejarah hidup yang telah lalu. Bimbang tidak lulus peperiksaan. Bimbang, bimbang dan bimbang. Hati selalu gusar dan gundah gulana memikirkan semalam, hari ini, esok dan masa depan... Apakah yang patut dilakukan? Apakah saya telah produktif? Atau, apakah saya telah tidak produktif? Adakah kebimbangan ini sesuatu yang normal? Apakah saya bakal mendapat manafaat dari kebimbangan ini? Fikir-fikirkan!
Sebenarnya, kebimbangan adalah perkara yang normal di dalam kehidupan. Seperti yang telah saya bincangkan, manusia dianugerahkan hormon. Hormon memain peranan yang penting di dalam kestabilan emosi seseorang individu. Namun, adakah patut kita sentiasa merasa bimbang? Tidak. Ianya adalah suatu keadaan yang tidak produktif dan banyak menghabiskan masa. Seharusnya kita bebas dari perasaan bimbang kerana kebimbangan akan menjerumuskan diri kita kepada penyakit-penyakit kronik.
Sebenarnya, sebagai manusia kita harus bijak mengasingkan semalam, hari ini dan esok lusa. Semalam adalah sejarah. Biarlah menangis hingga keluar air mata darah, semalam telah terpahat di dalam lipatan sejarah. Ianya tidak boleh diubah lagi. Adalah suatu pembaziran sekiranya kita meratapi peristiwa semalam. Banyak tenaga akan hilang sekiranya kita memikirkan semalam. Maka, biarlah semalam bersemadi dengan aman. Janganlah anda gusar dan bimbang tentang semalam kerana tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubah semalam. Anda harus tenang dan letakkan semalam ke tepi sekiranya tidak boleh melupakannya. Carilah ketenangan dengan melupakan atau meletak ke tepi peristiwa semalam. Hiduplah di bumi nyata, abaikan semalam. Semoga anda tenang... aman... damai.
Sebaliknya, esok lusa adalah sesuatu yang tidak pasti. Memang benar kita harus memikirkan tentang hari-hari mendatang... esok lusa. Tetapi ianya tidak harus disertakan dengan kegusaran dan kebimbangan. Untuk apa menghabiskan tenaga dan memenatkan mental untuk sesuatu yang belum pasti. Bertenanglah. Berbahagialah. Masa hadapan harus direncanakan dengan perbuatan pada hari ini.
Hari ini.
Hari ini.
Hari ini.
Sewajibnya kita memberi penumpuan kepada usaha-usaha hari ini. Hari ini telah ada di depan mata. Jangan dirisaukan semalam atau esok lusa. Membuang tenaga sahaja. Hari ini... sekarang... adalah realiti. Perancangan masa hadapan haruslah bermula dengan perlaksanaan tugas hari ini dengan sebaik-baiknya. Gunakan seluruh tenaga, kemampuan dan apa yang dimiliki untuk melaksanakan tugas hari ini sebaik mungkin. Lakukan tugas satu per satu. Di sudut otak saya, saya teringat sebuah ungkapan yang pernah saya baca dari sebuah buku "Setiap hari merupakan kehidupan baru bagi orang yang bijaksana".
Tumpukan perhatian, letakkan usaha dan laksanakan apa yang patut dilakukan pada hari ini sebaik mungkin. TIP TOP. Lupakan semalam. Lakukan yang terbaik pada hari ini untuk masa hadapan. Jangan khuatir. Buangkan kebimbangan jauh-jauh... hidup di dalam realiti sebenar.
Berbahagialah... bergembira...
ZMS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment