Wednesday, December 3, 2008

Maksud Kejayaan

Hari ini (3/12/08) adalah hari ke-3 saya bercuti rehat dari tugas-tugas di pejabat. Semalam, walaupun bercuti, saya telah dipanggil untuk membantu bagi mempengerusikan majlis kolokium pelajar PhD di Hotel Marriot, Putrajaya bersempena majlis pelancaran pengiktirafan GSM-UPM dan UKM-GSB sebagai Top Business School di Malaysia.

Di dalam majlis yang dipengerusikan oleh saya, kelihatan wajah-wajah pelajar pasca-siswazah yang gigih dan teruja di dalam mengejar impian untuk berjaya di dalam penyelidikan dan ijazah masing-masing. Sudah pasti tugas ini bukan tugas mudah. Saya telah melalui zaman-zaman sukar bagi mendapatkan ijazah tertinggi ini (PhD). Saya faham benar bagaimana sukarnya untuk memulakan, melaksanakan dan menamatkan pengajian tersebut. Hanya orang yang gigih berusaha tanpa mengenal erti jemu, muak dan malas, akan berjaya meletakkan noktah di dalam perjuangan mereka.

Walau bagaimanapun, kejayaan di dalam akademik hanyalah satu dari banyak kejayaan hidup. Ramai orang telah terlupa bahawa terdapat banyak cara untuk berjaya di dalam hidup. Kesannya, masyarakat terlalu taksub dengan pendidikan formal yang bermatlamatkan menjejakkan kaki ke menara gading. Bila tanya mereka, apa yang hendak dibuat di Universiti, 'buat la apa-apa sahaja'... janji dapat masuk U. Sampai ke tahap itu pemikiran masyarakat kita. Main sondol sahaja... janji sondolan yang dibuat mengena. (Di dalam buku saya yang terkini, saya ada membincangkan sikap 'membabi buta' ini).

Anak-anak didesak untuk belajar dan terus belajar bagi memastikan mereka mendapat bilangan A sebanyak mungkin. Sebakul...dua bakul dan berbakul-bakul A mesti dibawa pulang. Anak-anak dipesan "Jangan bagi malu pada mak dan ayah, kamu mesti dapat A, A dan A. Sebanyak mungkin". Pagi ke sekolah, petang dan malam ke tusyen, dan rutin ini berterusan sehingga anak-anak kita mencecah umur 17 tahun. Jika diteliti, masyarakat kita telah terjerumus ke dalam dilema materialistik. Terlalu materialistik. Kejayaan hanya diukur dengan bilangan A yang diperolehi. Terdapat saudara saya yang menyatakan beliau malu nak ke pejabat sebab anaknya tidak secemerlang anak-anak orang lain. Laaaaa.... macam ni punya orang pun ada... Bukan sahaja ada, dah ramai yang macam tu!

Ramai telah terlepas pandang bahawa manusia dijadikan tuhan berbeza-beza. Dengan cara ini, dunia menjadi ceria. Tidak semua orang melakukan perkara yang sama. Ada yang bekerja di pejabat. Sebahagian orang bertugas di tengah padang, dalam hutan, di rumah dan sebagainya. Ramai orang berjaya menjadi usahawan tani. Terdapat juga yang berjaya di dalam bidang andaman pengantin. Pendek kata, nak berjaya terdapat pelbagai cara.

Seharusnya, ibu bapa sedar bahawa kejayaan akademik hanyalah satu dari banyak kejayaan kehidupan. Jika, anak-anak tidak mampu membawa diri di dalam dunia akademik, cubalah kaji kelebihan diri anak-anak anda. Saya pasti setiap manusia ada kelebihannya. Lihatlah, teliti dan amati... apa keunikan mereka. Ramai orang yang tidak berpendidikan tinggi yang mampu berjaya di dalam bidang lain seperti perniagaan, kesenian, kebudayaan dan sebagainya.

Jika dinilai di sudut yang lain, mampukah orang yang telah berjaya di dalam bidang akademik, untuk berjaya di bidang lain seperti keusahawanan? Terdapat ramai yang berjaya mendapat ijazah PhD, sijil professional seperti akauntan, jurutera dan sebagainya dan sebahagian dari mereka terus berjaya meraih jawatan Profesor. Tetapi, mampukah mereka menjadi usahawan berjaya? Mungkin secara teori mereka mampu berjaya, tetapi praktikalnya, ramai Profesor mengakui mereka tidak mampu menjadi usahawan sebagaimana yang mereka ajar dan nasihatkan pelajar-pelajar! Mereka hanya mampu berkata 'u kena buat itu dan ini jika ingin menjadi usahawan berjaya' tetapi sudahkah mereka mempraktikkannya? Belum. Saya pasti belum. Cakap memang mudah. Buat memang susah.

Setiap individu ada kekuatan masing-masing dan kajilah kekuatan diri. Tumpukan usaha dan tenaga anda bagi membina kejayaan diri. Lakukan sesuatu bagi mengejar impian anda. Jangan buang masa di dalam mengejar pendidikan formal, padahal diri sendiri tidak mampu melakukannya.

Kesimpulannya, kejayaan tidak harus ditakrif dengan sempit seperti kejayaan di dalam bidang akademik. Kejayaan harus ditakrif dengan lebih luas. Ramai orang yang telah berjaya menyatakan, maksud kejayaan adalah bergantung kepada setiap insan. Mereka harus memberi takrifan tersendiri ke atas perkataan kejayaan. Bagi Warren Buffet, kejayaan bermaksud berapa ramai orang yang kita mahu mereka menyayangi kita, sebenarnya menyayangi kita. Begitu juga anda, apakah maksud kejayaan bagi diri anda.

Fikir-fikirkan!

Tq.

No comments:

Post a Comment