Thursday, February 5, 2009

Percaya Kepada Diri Sendiri

Kita sering mendengar bahawa percaya kepada kemampuan dan kebolehan diri mampu mencipta sebuah kejayaan. Tanpa keyakinan diri di atas kuasa dalaman diri, kejayaan yang diimpikan tidak akan dapat dikecapi. Masalah diri kita ialah sering merasa takut atau kekurangan dan ini menyebabkan seseorang itu merendah diri. Justeru, ianya menjadi 'batu' penghalang yang paling besar kepada pencapaian harapan atau impian.
.
Jika dikaji atau diamati, segala ketakutan atau ketidakyakinan ini berlaku di dalam diri seseorang. Ianya bukan berlaku diluar diri atau dipengaruhi oleh orang lain. Perasaan ketidakyakinan diri ini adalah sikap mental yang sebenarnya boleh dikawal oleh diri sendiri. Cuma, mereka yang terlibat telah terbiasa dengan keadaan merendah diri, takut untuk menyerlahkan kebolehan diri ataupun sentiasa merasakan diri mereka tidak mampu. Namun, setelah orang lain melakukan apa-apa yang digambarkan atau diimpikan, si pemunya diri berfikir sendirian bahawa sebenarnya diri beliau mampu melakukannya.
.
Anda tidak harus berada di dalam keadaan merendah diri sepanjang kehidupan anda dan membiarkan orang lain merampas peluang yang sepatutnya menjadi milik anda. Yakin diri yang tinggi atau yakin diri yang lemah adalah satu pilihan dan bukannya suatu takdir atau nasib... Anda harus memilih yang terbaik untuk diri sendiri. Anda harus membina keyakinan diri. Apa yang anda harus lakukan ialah mengenalpasti bagaimana dan apakah sebab-sebab yang membawa kepada perasaan kurang keyakinan diri, merendah diri atau takut untuk melakukan sesuatu. Tuliskan perkara-perkara ini di atas kertas. Atasinya dari masa ke masa (jika sukar untuk mengatasi kesemua yang anda tulis, atasinya satu per satu). Jika anda berusaha untuk mengatasi masalah diri atau anda tidak mahu berusaha untuk mengatasinya... ini adalah pilihan yang anda buat (bukan takdir atau nasib). Pilihlah yang terbaik untuk diri anda sendiri.
.
Di dalam melakukan sesuatu yang anda takut untuk melakukannya atau kurang yakin diri untuk melakukannya, anda harus membina kekuatan dalaman melalui kata-kata kepada diri dan doa kepada yang Maha Esa. Kata-kata atau doa berikut saya perolehi melalui pembacaan dan saya ubahsuai kepada kesesuaian pegangan agama kita:
.
"Aku mampu melakukan semua perkara dengan izin ALLAH yang memberi kekuatan kepada diri Aku".
.
Sekiranya anda sukar mengingat perkataan-perkataan ini, tuliskannya di atas kertas atau kad sebesar kad nama (anda boleh mengubah suai perkataan yang diwarnakan hijau bersesuaian dengan apa yang anda ingin lakukan). Bacalah ayat-ayat ini dengan kuat sekurang-kurangnya 3 kali (jika malu didengari oleh orang lain, duduk bersendirian) dan sentiasa mengulanginya setiap hari dan setiap waktu anda ingin melakukan sesuatu yang anda takut untuk melakukannya. Sistem minda anda akan mula berubah dan kepercayaan kepada kemampuan diri akan mula terbina.
.
Insyaallah.
.
.
ZMS

No comments:

Post a Comment