Sunday, February 15, 2009

Abang Tak Sensitif Lah!

Ketidakpekaan lelaki kepada emosi dan kelakuan perempuan adalah sesuatu yang menjadi punca kepada konflik antara lelaki dan perempuan di sana sini. Tidak percaya? Cuba tanya ramai perempuan yang telah berumahtangga. Apakah pengalaman mereka? Apabila perempuan marah, merajuk atau tarik muka masam, ramai lelaki buat tidak tahu sahaja. Bak kata orang 'buat dek je'. Sememangnya sensitiviti lelaki dan perempuan terhadap petunjuk-petunjuk bukan percakapan adalah berbeza. Perempuan mengharapkan lelaki memahami mereka apabila membuat 'perangai' tertentu, tetapi, lelaki tidak menunjukkan sebarang tindakbalas. Lelaki buat biasa aje!
.
Perempuan sering kecewa atau marah dengan kegagalan atau ketidakupayaan lelaki membaca 'perangai' mereka. Apabila perempuan menarik muka masam, mendiamkan diri, tidak menjawab pertanyaan, membebel, kelihatan marah, menangis... perempuan mengharapkan tindakbalas dari lelaki, tetapi, selalunya lelaki buat tidak tahu atau tidak melayan dan tidak 'ambil pusing' dengan 'perangai' perempuan ini. Alasan yang sering lelaki lontarkan apabila perempuan bertegang leher bahawa lelaki tidak memberi perhatian secukupnya kepada perasaan mereka ialah "mana saya tahu awak nak saya komen" atau "Saya bukan pandai baca hati dan perasaan awak". Cik Abang Oooo Cik Abang, mereka ini perlukan perhatian saudara... marah-marah tapi sayang!
.
Sebenarnya, lelaki tidak faham dengan 'petunjuk bukan lisan' yang ditunjukkan oleh perempuan. Juga, adalah kurang tepat (atau tidak adil) apabila menyalahkan lelaki kerana kegagalan mereka membaca 'signal' yang perempuan berikan. Jika matlamat perempuan ingin mempunyai komunikasi yang berkesan, anda harus ingat bahawa lelaki yang berhadapan dengan anda tidak mempunyai keupayaan membaca dan memahami 'petunjuk bukan lisan' atau 'perangai' yang mana anda sebagai perempuan sememangnya cekap untuk melakukan dan memahaminya. Kadangkala, secara sengaja atau tidak sengaja, perempuan terlalu sensitif kepada 'petunjuk bukan lisan' yang disampaikan oleh individu lain kepadanya. Sebagai contoh, seorang pelayan restoran berkemungkinan mempunyai masalah peribadi dan ketika melakukan tugasnya sebagai pelayan, dengan tidak sengaja telah menunjukkan sikap atau perangainya yang dipengaruhi oleh masalahnya. Situasi ini tidak harus mengganggu emosi pelanggan perempuan, tetapi, terdapat banyak kes pelanggan perempuan hilang 'mood' untuk makan atau terlalu marah dengan pelayan tersebut.
.
Saya berpendapat pasangan harus saling memahami kekurangan dan kelebihan pasangan mereka. Ketidakupayaan lelaki membaca dan memahami 'petunjuk bukan lisan' perempuan haruslah diterima seadanya dan perempuan harus berkongsi dengan lelaki cara mereka, dan juga, lelaki harus belajar dari pasangannya.
.
ZMS
.
.

No comments:

Post a Comment