Bila difikir-fikirkan tentang ke sekolah, teringat saya kepada zaman saya ke sekolah kira-kira 30 tahun yang lalu... [tua gak saya ni ehhh...]. Arwah ayah saya memang kelihatan garang orangnya. Dia cakap pada cikgu bahawa dia serah anak dia untuk dididik oleh guru. Cikgu nak buat apa... buatlah... asalkan anak dia pandai... Puhhh ngeri bunyinya. Bila saya bertanya-tanya kepada orang yang lebih tua, rupa-rupanya orang dulu-dulu memang macam tu. Mak bapak memang serahkan anak-anak dia untuk dididik oleh guru. Serah anak tu bermaksud, cikgu akan menjadi ibu bapa ke-dua.
.
Bukan macam sekarang, cikgu nak di saman di mahkamah pulak dah! Yang pukul cikgu pun ada. Yang report kat polis pun ada. Dulu... cikgu boleh pilih rotan mana yang nak guna... sekarang, kirim salam... cikgu nak rotan anak orang..., silap haribulan kena transfer ke tempat yang orang lain tak nak pergi. Cuba fikirkan, apakah yang berlegar-legar di kepala cikgu apabila menerima anak orang untuk dididik di sekolah? Bolehkah mereka menjadi ibu bapa ke-dua kepada anak murid mereka?
.
Telah ramai guru yang saya temubual berhubung senario karier mereka terutamanya berkaitan isu di atas. Rata-ratanya berpendapat situasi sekarang tidak sama atau serupa dengan apa yang saya gambarkan di atas. Jangan cakap nak rotan anak orang, nak tegur pun susah. Banyak cabaran yang berlegar di minda mereka. Jika silap tegur, bercalar kereta cikgu. Banyak contoh telah terjadi, di mana kereta guru dicalar oleh 'orang yang tidak dikenali'... dari belakang (bonnet) sehinggalah ke hadapan. Juga, pelbagai kerenah anak murid dapat dilihat atau dibaca di akhbar dan media. Tahun 2008 telah menyaksikan anak murid menendang guru dipaparkan di televisyen.
.
Selepas terjadinya senario-senario di atas, adakah guru akan melaksanakan tugasnya dengan penuh semangat? Tugas mendidik bukan mudah. Ianya harus dilakukan dengan sepenuh hati dan ikhlas. Jika guru bertugas di dalam suasana yang terdapat pelbagai halangan dan ancaman, mungkin... guru-guru tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sepertimana yang dijangkakan. Di satu sudut, guru-guru teringin melaksanakan tugas mendidik sepenuh hati. Jika anak murid menurut tunjuk ajar, mereka akan disayangi dan sebaliknya jika nakal, anak murid seharusnya ditegur, atau ditarik telinga, atau dirotan. Tetapi, mana boleh buat sebegitu. Seperti yang saya katakan di atas, di zaman ini, ibu bapa akan masuk campur di dalam isu pendidikan. Jangkaan ibu bapa ialah guru harus mendidik sepenuh hati, tetapi, jika anak nakal... jangan disentuh mahupun ditegur anak mereka. Bolehkah guru melaksanakan tugas mereka?
.
Ataupun, zaman telah berubah. Guru harus lebih pandai menggunakan kaedah psikologi? Guru harus berlembut sepanjang masa dan menangani masalah pelajar dengan cara lembut iaitu kata-kata sahaja.
.
Cuba kita analisa masalah murid-murid zaman ini. Ramai pelajar berpeleseran waktu sekolah. Ramai yang mengunjungi pusat atau arked video. Masalah penagihan dadah di kalangan murid begitu tinggi. Murid-murid tidak mendengar kata guru mahupun ibu bapa mereka. Dan, pelbagai masalah lain.
.
Persoalannya sekarang adakah cara guru dan ibu bapa sekarang kena pada tempatnya? Dengan membelai yang keterlaluan dapat membentuk sahsiah murid yang positif? Maaf saya berkata... mungkin cara kita sekarang tidak kena... Fikir-fikirkan...
.
Bersambung...
.
ZMS
No comments:
Post a Comment