Hari ini, saya bertemu dengan seorang pegawai tinggi pendidikan. Saya seronok berbual pelbagai topik hingga berjam-jam lamanya. Satu topik yang amat menarik minat saya ialah ramai di kalangan pelajar sekolah, baik sekolah rendah mahupun sekolah menengah, tidak jelas atau tidak tahu mengapa mereka ke sekolah. Sahabat saya menyatakan sepanjang karier beliau, pelbagai jawapan yang diberikan oleh pelajar sekolah, ibu bapa dan juga guru-guru. Yang pasti, ramai dikalangan mereka tidak jelas mengapa mereka belajar.
..
Terdapat pelbagai karenah pelajar sekolah di dalam kehidupan harian mereka. Ada yang ke sekolah di sebelah pagi dan selepas 'waktu rehat' menghilangkan diri. Terdapat pelajar yang ponteng sekolah. Terdapat juga yang membawa bekal baju untuk ditukar bila masa mereka ingin melompat keluar dari kawasan sekolah. Yang lebih parah lagi ialah ramai pelajar terjebak dengan najis dadah dan kira-kira 90% atau lebih adalah dari kalangan kaum Melayu. Bila difikirkan mengapa perkara-perkara ini terjadi, saya dan rakan berpendapat ramai dikalangan masyarakat tidak jelas mengapa kanak-kanak perlu belajar.
.
Terdapat ramai pelajar yang memberi jawapan bahawa mereka ke sekolah ialah untuk lulus UPSR, PMR, SPM dan lain-lain sijil. Ada juga yang menjawab 'nak dapat A sebanyak mungkin'. Selepas itu hendak buat apa? Mereka menjawab 'hendak masuk universiti'. Bila ditanya 'hendak buat apa di universiti'. Jawabnya 'entahlah... mak ayah suruh belajar sebab nak masuk universiti'. Bila ditanya kepada mak dan ayah mereka 'mengapa suruh anak belajar?', mak dan ayah kanak-kanak ini pun kebingungan kerana mereka disuruh oleh kedua ibu bapa mereka untuk ke sekolah. Bagi ibu bapa yang berpendidikan, jawapannya seperti di atas iaitu 'untuk ke universiti'. Hanya segelintir yang mampu menjawab seperti mana yang akan saya bincangkan di dalam artikel akan datang.
..
Cuba kita berfikir selangkah ke hadapan. Sekiranya anak-anak tidak faham atau tidak tahu mengapa mereka perlu belajar, apakah kesannya kepada mereka selanjutnya? Apabila anak-anak tidak faham mengapa mereka perlu ke sekolah, bagaimanakah cara mereka belajar? Bagaimanakah cara mereka berfikir? Bagaimanakah pandangan mereka terdapat buku? Bagaimanakah sikap mereka terhadap guru? Bagaimanakah sikap ibu bapa terhadap guru? Bagaimanakah anak-anak menilai erti ilmu? Bagaimanakah anak-anak dan ibu bapa menghargai nilai ilmu? Adakah anak-anak pelajar sering merungut bahawa ilmu yang dipelajari tidak boleh diaplikasi dalam kehidupan? Adakah anak-anak pelajar merasakan subjek-subjek tertentu adalah sia-sia dipelajari? Adakah rencana di dalam suratkhabar hari ini ada kebenarannya... di mana, ramai anak-anak ke sekolah tidak mahu membawa buku? Adakah anak-anak merasakan tanpa membawa buku ke sekolah mereka masih mampu belajar? Dan, pelbagai persoalan lagi boleh saya ciptakan untuk difikirkan.
.
Perbincangan kami melangkah ke satu topik lagi iaitu adakah anak-anak, ibu bapa dan guru jelas dengan cita-cita atau impian ataupun matlamat kehidupan? Apabila ditanya kepada anak-anak 'apakah cita-cita adik?' Ada yang mampu menjawab dan ada juga yang tidak mampu menjawab. Yang mampu menjawab, rata-ratanya memberi jawapan yang umum seperti 'saya nak jadi doktor'. Saya bertanya 'doktor apa?'... jawapannya 'doktor la...' Pelbagai karier yang boleh mereka cakap, tetapi mereka tidak jelas. Semua ini berbalik kepada persoalan sama ada anak-anak pelajar jelas mengapa mereka perlu ke sekolah, mengapa mereka perlu belajar? Ramai yang masih kabur mengapa mereka harus ke sekolah, mengapa mereka harus belajar...
.
.
Bersambung di artikel lain...
.
ZMS
No comments:
Post a Comment