Kejayaan adalah satu pilihan dan bukannya warisan/nasib. Ianya lebih dari kemenangan atau kekalahan kerana kejayaan atau kegagalan adalah satu proses dalam kehidupan. Kejayaan tidak terhenti apabila pertandingan atau persaingan berakhir dan penonton pulang ke rumah masing-masing. Seseorang yang gagal atau kalah tidak akan kekal gagal sepanjang hidupnya. Kegagalan adalah satu pelajaran buat orang yang mempunyai akal fikiran dan kemahuan untuk mengubah nasib. Kegagalan membuatkan seseorang itu belajar cara-cara untuk mencapai kejayaan di masa hadapan. Kita telah melihat ramai orang yang gagal bangkit semula untuk meraih kejayaan yang gilang gemilang.
.
Pokok pangkalnya ialah kemahuan untuk bergerak maju di dalam kehidupan. Sebagai golongan pendidik, saya telah melihat banyak contoh di mana kegagalan seseorang di dalam pendidikan di usia muda tidak menghalang mereka untuk mencapai kejayaan. Ramai pelajar saya yang terdiri dari murid dewasa (atau matang) yang tidak berpeluang atau gagal mendapat tempat di menara gading pada usia muda mereka. Pelbagai faktor yang menghalang mereka pada suatu ketika dahulu. Namun, atas berkat usaha gigih, mereka mampu memasuki universiti walaupun pada ketika menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, usia mereka di penghujung perkhidmatan ataupun telah memiliki keluarga besar. Tetapi, inilah proses kehidupan. Pengalaman lampau mengajar mereka untuk lebih berjaya. Sekiranya, dahulu mereka pernah gagal di dalam kehidupan, ilmu-ilmu yang yang perolehi dari peristiwa ini dijadikan panduan untuk mengorak langkah untuk berhadapan dengan realiti dan mencipta kejayaan yang setidak-tidaknya menjadi rekod peribadi dan keluarga.
.
Oleh itu, jadikan segala pengalaman hidup, baik yang manis mahupun pahit sebagai pelajaran di dalam memandu kehidupan ke arah yang lebih cemerlang. Kejayaan adalah suatu pilihan dan kejayaan adalah tanggungjawab diri sendiri. 100% tanggungjawab diri. Maka, pilihlah yang terbaik demi masa hadapan anda dan keluarga. Saya hanya boleh menasihati dan memberi pandangan. Segalanya di tangan anda yang bijaksana dan budiman.
.
Adios...
.
ZMS
.
.
No comments:
Post a Comment