Saturday, February 14, 2009

Kata Pakar Tentang Perbezaan Lelaki dan Perempuan

Seorang pakar, Vivienne Parry, yang juga merupakan seorang saintis, penyunting dan penulis buku (The Truth About Hormone) menulis bagaimana lelaki dan perempuan mendengar dan menafsir apa yang didengari. Beliau menyatakan terdapat perbezaan di antara kedua-dua seks berlainan ini di dalam cara mendengar dan mentafsir maklumat yang didengari. Sebagai contohnya, seorang perempuan mungkin akan berkata kepada seorang lelaki bahawa beliau bosan dengan cara bosnya bertindak dan sejak akhir-akhir ini pejabatnya terlalu sibuk sehinggakan beliau rasa tertindas dengan jumlah kerja dan masalah yang perlu diselesaikan yang terlalu banyak.
.
Bagi perempuan, kenyataan sebegini adalah suatu jemputan untuk berbicara dan bersama-sama bercakap tentang isu pokok iaitu kesibukan, cara bos bertindak dan isu-isu berkaitan. Perempuan tidak mengharapkan jawapan. Yang diharapkan ialah lelaki akan bercakap dengannya tentang isu atau masalah yang dihadapi. Namun, telinga dan otak lelaki mentafsir dengan cara tersendiri. Bagi lelaki, apa yang disampaikan kepadanya adalah suatu jemputan untuk menyelesaikan masalah perempuan. Pendengaran dan tafsiran di minda lelaki ialah beliau harus membantu perempuan dengan memberikan jawapan dan senarai alternatif penyelesaian. Maka, lelaki akan memberikan jawapan seperti 'awak perlu berhenti kerja dan cari kerja lain...' atau jawapan-jawapan yang tidak digemari oleh perempuan. Pertembungan cara percakapan dan pendengaran ini sering wujud di dalam perhubungan, cuma, ianya tidak disedari oleh lelaki dan perempuan.
.
Seperkara lagi ialah keupayaan lelaki untuk memproses bahasa dan memahami apa yang diperkatakan kepadanya merosot bermula dari umur 35 tahun. Manakala, perempuan masih mengekalkan keupayaan dan keberkesanan mereka di dalam melakukan tugas yang sama sehinggalah mereka menopaus.
.
Mungkin... ramai di kalangan masyarakat agak ragu-ragu dengan penemuan ini dan merasakan ini satu penemuan kajian di dalam persekitaran barat yang mungkin berlainan berbanding persekitaran kita. Juga, tiada kajian di dalam persekitaran dan budaya Malaysia yang dilakukan yang boleh kita rujuk. Namun, apa yang dilaporkan oleh pakar-pakar barat memberikan kita sedikit gambaran bahawa lelaki dan perempuan bersikap dengan cara tersendiri dan ini mungkin disebabkan oleh keupayaan memproses bahasa dan pemahaman yang merosot akibat faktor usia. Mungkin juga, penemuan di barat ini boleh diterima pakai kerana kejadian manusia adalah serupa, walaupun, lokasi, budaya, pemakanan, persekitaran yang berbeza mencorakkan gaya hidup dan perkembangan diri yang berbeza.
.
Lihatlah pakcik dan makcik di sekeliling kita. Mereka sering bertelagah tentang apa yang diperkatakan oleh pakcik dan apa pula yang diperkatakan oleh makcik. Pakcik faham sebegini dan melakukan mengikut apa yang difahaminya. Makcik pula marahkan pakcik sebab pakcik tidak dengar betul-betul apa yang makcik katakan sehinggakan salah melakukan sesuatu atau tidak menurut perintah. Makcik mula membebel... pakcik seperti biasalah, terkedu dan termenung. Semakin tua seseorang lelaki dan perempuan, semakin banyak perkara yang mereka salah faham. Namun, mereka masih saling sayang menyayangi.
.
ZMS
.
.

No comments:

Post a Comment