Manusia dijadikan Tuhan dengan fungsi unik yang telah ditentukan sejak awal. Setiap lelaki dan perempuan dilengkapi dengan pusat kawalan atau dinamakan otak yang berkembang secara berbeza dari aspek kekuatan, keupayaan dan bakat. Sejak beribu tahun dahulu, lelaki telah menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk mencari rezeki buat seisi keluarga. Lelaki akan berusaha dengan cara mereka tersendiri untuk mendapatkan makanan seperti memburu, bercucuk tanam, menangkap ikan dan sebagainya. Seiring dengan tugas mereka sebagai ketua keluarga, otak mereka berkembang bagi memenuhi keperluan kejadian ini. Terdapat pada bahagian otak yang berkembang untuk navigasi jarak jauh bagi membantu pengaturan strategi untuk menangkap haiwan mangsa, kemahiran memburu dan juga kemahiran peperangan. Lelaki tidak memerlukan kemahiran komunikasi atau percakapan yang baik atau sensitif kepada keperluan emosi. Lantaran, perkembangan otak lelaki lebih kepada kemahiran bukan lisan (non-verbal). Saintis telah membuktikan bahawa otak kanan kanak-kanak lelaki berkembang lebih pantas berbanding otak kiri mereka. Perkembangan ini berterusan sehingga mereka menjadi lelaki dewasa. Ini menunjukkan lelaki lebih cenderung membina kemahiran bukan lisan (otak kanan) seperti seni, pertukangan, pembinaan, kreativiti, penglihatan dan sebagainya. Selaras dengan fungsi mereka sebagai ketua keluarga yang mencari rezeki dan perkembangan otak kanan, lelaki kurang cekap bercakap dan tidak sensitif berbanding perempuan.
.
Cuba anda bayangkan situasi berikut, sekiranya lelaki bercakap dengan banyak dan sensitif atau beremosi dan beliau keluar memburu, berkemungkinan tiada hasil yang bakal diperolehi walaupun seharian di dalam hutan. Apabila sibuk memerhati dan mensasarkan panah kepada haiwan mangsa, lelaki itu sibuk bercakap, maka, haiwan tersebut akan lari dari pandangan. Sekiranya haiwan memasuki jerat yang dipasang, lelaki yang terlalu sensitif dan beremosi akan menangis kerana kesiankan haiwan yang masuk ke dalam jerat. Setelah puas menangis, pasti lelaki tersebut akan melepaskan haiwan yang terkena jeratnya. Haiwan tersebut pun akan melarikan diri dengan tergelak terkekeh-kekeh melihatkan lelaki yang terlalu emosi itu. Berlaparlah keluarga si lelaki tersebut hanya disebabkan lelaki itu terlalu emosi kepada haiwan yang dijerat. Jika sikap begini berterusan, nescaya keluarga tersebut akan mati kelaparan.
.
Sebaliknya, perempuan dijadikan dengan fungsi sebagai ibu yang menjaga dan mengawal rumah (home minister). Sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga anak dan rumah, perempuan tidak memerlukan kemahiran navigasi jarak jauh. Mereka memerlukan navigasi jarak dekat dan aksesori penglihatan meluas atau mencapah bagi memantau perubahan persekitaran, kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan berupaya untuk melakukan pelbagai tugas serentak. Seorang perempuan dan juga ibu perlukan kemahiran komunikasi berkesan untuk memastikan bayi dan anak-anaknya membesar dengan baik. Perempuan perlu bercakap dengan berkesan untuk memastikan anak-anaknya sihat dan tidak dijangkiti penyakit. Mereka perlu bertanya dengan menggunakan ayat yang betul supaya anak-anak dapat menyampaikan maklumat tepat pada masanya. Juga, ibu memerlukan kemahiran navigasi jarak dekat bagi membolehkannya memantau keselamatan anaknya. Tiada seekor nyamuk atau serangga yang boleh menghampiri anaknya. Dengan kemahiran-kemahiran ini, ibu mampu mengesan kesihatan anaknya dengan hanya mendengar suara atau melihat kepada gerak-gerinya. Sebagai ibu, perempuan perlu pantas dan mampu melakukan pelbagai tugas (multi-task) serentak. Mereka perlu memerhatikan persekitaran, membuat susu dan pada masa yang sama melakukan pelbagai tugasan seperti memasak. Oleh sebab keperluan ini, otak perempuan akan berkembang secara berbeza dengan lelaki. Otak kiri perempuan berkembang lebih pantas berbanding otak kanan. Perkembangan pantas otak kiri ini membolehkan perempuan bercakap dengan berkesan (+/- 20,000 patah perkataan sehari), melihat sesuatu dengan lengkap dan terperinci dan sebagainya.
.
ZMS
No comments:
Post a Comment