Saturday, January 17, 2009

Menjana Idea Kreatif dan Pentingnya Berehat [Take 5 / Take Breaks]

Untuk menjadikan otak anda kreatif dan sentiasa menjana idea-idea baru, otak perlu berehat dari tugasan yang anda sedang lakukan. Cara merehatkan otak bergantung kepada individu. Tiada cara spesifik yang terpakai kepada semua orang kerana setiap insan ada cara tersendiri untuk berehat dan menenangkan pemikiran. Ada orang gemar menyanyi, ada pula suka melempar pandangan kepada orang yang lalu-lalang, ada individu yang suka berjalan-jalan di hujung kampung atau hutan ataupun bukit... ikutlah gerak hati dan kegemaran anda, yang penting adalah anda harus merehatkan otak bagi menjana idea-idea kreatif.
.
Cuba anda berfikir sejenak... dimanakah anda sering dihujani idea-idea yang anda tidak pernah terfikir selama ini? Anda mendapat penyelesaian atau cadangan-cadangan penyelesaian kepada masalah kehidupan? Dimana dan bila lamunan siang hari anda terjadi?
.
Saya dan ramai lagi mendapat idea kreatif ketika melakukan perkara berikut:
  • ketika mandi
  • memandu kereta - terutamanya ketika ke pejabat / di dalam kesesakan lalu lintas
  • berjalan-jalan di hutan (bercuti)
  • ketika hendak tidur
  • bangun tidur
  • mendengar muzik
  • pemanduan jarak jauh
  • sedang ber'jogging'
  • lepak-lepak di 'shopping complex'
  • berehat di pantai
  • dan lain-lain

Cuba anda fikirkan... dalam keadaan atau situasi apakah ketika melakukan aktiviti di atas, anda dapat menjana idea kreatif? Pada ketika ini minda anda berehat dan selalunya bersendirian, dan bebas dari gangguan.

Pada ketika minda anda berehat dari berfikir secara serius tentang sesuatu masalah, kedua-dua belah otak berhubungan dan berkomunikasi. Pada ketika ini minda separa sedar anda juga beroperasi secara bebas. Masih ingat lagi tentang kisah JK Rowling mendapat idea Harry Porter semasa gerabak keretapi yang dinaikinya terhenti. Ketika melemparkan pandangan keluar tingkap, secara tiba-tiba idea yang bernilai ratusan juta Pound Sterling mengunjungi minda JK Rowling. Pada ketika mendapat idea ini, beliau sedang mengelamun atau mimpi di siang hari. Pada masa ini otaknya sedang berehat dari berfikir secara serius. Otak akan mengeluarkan idea-idea kreatif semasa anda sedang berehat. Oleh itu, ambillah sedikit masa untuk berehat sekiranya anda bekerja kuat atau sedang belajar. Jika anda sedang belajar, berhenti sebentar dan berjalan keluar buat seketika atau lakukan sesuatu yang anda gemar melakukannya untuk beberapa minit, dan sesudah melakukannya kembali menelaah pelajaran.

Kepada pelajar-pelajar, elakkan dari memaksa otak anda menghafal atau menerima bulat-bulat dari pembacaan anda. Berfikir dan berimaginasi tentang ilmu yang anda pelajari. Kaitkan teori atau idea dengan kehidupan atau bagaimana ianya memanafaatkan manusia.

Sekiranya anda sentiasa mengamalkan pemaksaan minda agar sentiasa bekerja keras tanpa berehat, minda anda akan berhenti dan berehat tanpa anda sedari. Anda akan hilang penumpuan (konsentrasi), sesekali pemikiran terputus dan melayang entah ke mana semasa anda membaca atau berbincang, pemikiran menjadi stress dan daya fikir menjadi lemah dan tidak produktif. Cara hidup yang memaksa minda bekerja keras tanpa rehat adalah tidak produktif dan tidak sihat. Ianya boleh memberi kesan kepada kesihatan diri dan akibatnya keluarga anda terbabit sama kesan dari sikap anda yang tidak mesra dan serius di dalam pelbagai perkara.

Untuk lebih maju dan produktif, rehatkan minda anda. Berehat dalam masa singkat (5 hingga 10 atau 20 atau 30 minit) ketika melakukan sesuatu aktiviti dan juga berehat dalam masa yang agak panjang (1 atau 2 atau 3 atau beberapa hari) dengan cara duduk di rumah atau melakukan aktiviti rekreasi atau keluar bercuti di tempat-tempat kegemaran anda.

Lakukannya sekarang... berlaku adillah kepada minda anda... kepada minda pasangan anda... kepada minda keluarga anda... dengan cara ini semua orang akan mula menggerakkan kecerdikan kreatif minda supaya segala aktiviti yang dilakukan adalah secara produktif dan efektif.

ZMS

No comments:

Post a Comment