Ungkapan 'Belajar dari pengalaman... terutamanya dari orang yang telah berjaya' sering kita dengar diucapkan oleh pakar motivasi atau orang yang lebih berpengalaman. Apakah yang mereka maksudkan? Adakah kita benar-benar memahaminya? Mungkin ramai telah faham. Tidak kurang juga yang masih tercari-cari apakah maksud sebenar ungkapan ini.
.
Sepertimana yang saya bincangkan di dalam buku terbaru saya, pengalaman orang yang telah berjaya adalah strategi yang telah terbukti mampu mengubah kehidupan individu berkenaan. Sekiranya anda tidak percaya dengan keberkesanan formula individu tersebut, anda terpaksa mencuba pelbagai kaedah untuk berjaya dan merealisasikan impian anda. Mungkin, anda akan gagal di dalam beberapa percubaan sebelum anda menemui jalan yang anda cari. Maka, anda akan membuang masa mencari-cari kaedah terbaik melakukan sesuatu.
.
Manakala, jika anda meneliti pengalaman orang yang telah berjaya di dalam bidang anda, pelbagai rahsia dan resipi kejayaan mereka akan anda cuba aplikasikan di dalam usaha ke arah kejayaan. Anda tidak perlu menggunakan kaedah 'Try and error'. Terdapat banyak penulisan yang mendakwa dengan mempelajari dari pengalaman orang lain terutamanya mereka yang telah berjaya, anda dapat menjimatkan masa dan usaha sebanyak 90%. Pelbagai kesilapan dan kesalahan di dalam usaha mencapai kejayaan dapat dielakkan.
.
Teknik ini harus diterapkan di dalam minda anak-anak kita. Jika mereka ingin berjaya di dalam pelajaran ataupun apa-apa bidang yang ingin diceburi, pelajarilah dari mereka yang telah berjaya. Orang berjaya bukanlah merujuk kepada orang kaya. Kadangkala (atau banyak kali), orang kaya tidak berjaya di dalam kehidupan mereka. Seperti yang saya bincangkan di dalam buku saya, kejayaan membawa pelbagai erti. Kejayaan haruslah ditakrif oleh setiap individu. Ada orang menakrifkan kejayaan sebagai memiliki keluarga bahagia, berilmu, beribadat dan pelbagai lagi. Ada orang berkata kepada saya beliau berjaya di dalam kehidupan selepas berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah di kampung dan memiliki kehidupan tenang serta mampu beribadat. Itu takrif kejayaan beliau. Anda bagaimana?
.
(Nota: Zaman telah berubah, anak-anak kini harus diberi pendedahan yang lebih kepada penimbaan ilmu dan teknologi. Adalah digalakkan anak-anak untuk belajar dari mereka yang telah berjaya dan melakukan aktiviti ke arah selari dengan matlamat ini.)
.
ZMS
.
.
.
.
No comments:
Post a Comment