Tuesday, January 13, 2009

Teknik Menyerlahkan Kehebatan Otak

Otak manusia akan berfungsi dengan hebat sekiranya setiap insan tahu teknik dan kaedah untuk merangsangnya. Terdapat banyak cara dicadangkan oleh pakar-pakar, dan di dalam artikel ini saya ingin memperkenalkan teknik 'Mindmapping' (Pemetaan Minda). Teknik ini mungkin telah diketahui ramai, namun, berdasarkan pengamatan saya, tidak ramai yang mengamalkannya. Ramai yang membayar sejumlah wang yang besar kepada konsultan hebat seperti Tony Buzan untuk mengendalikan seminar atau kursus berkaitan Mindmapping.
.
Saya berpendapat Mindmapping adalah satu alat yang amat berguna di dalam membuat tugasan, projek, perancangan mahupun belajar di universiti, kolej dan sekolah (tadika, rendah, menengah). Berikut ialah kegunaan Mindmap yang saya petik dari buku yang dikarang oleh Tony Buzan:
  • plan (perancangan)
  • communicate (komunikasi)
  • be more creative (menjadi lebih kreatif)
  • save time (jimat masa)
  • solve problems (menyelesaikan masalah)
  • concentrate (menumpukan perhatian)
  • organize and clarify your thoughts (menyusun dan mengenalpasti pemikiran anda)
  • remember better (mengingat dengan lebih baik)
  • study faster dan more efficiently (belajar dengan lebih pantas dan lebih efisien)
  • see the 'whole picture' (melihat secara menyeluruh)
Michalko di dalam bukunya yang bertajuk Cracking Creativity menyatakan dengan menggunakan Mindmap:
  • mengaktifkan keseluruhan otak
  • menjelaskan minda
  • membantu anda memberi penumpuan/fokus ke atas subjek
  • mendemonstrasikan perhubungan di antara maklumat-maklumat yang terpisah
  • memberi gambaran jelas tentang maklumat lengkap dan gambaran keseluruhan
  • membantu mengumpul dan memecahkan kumpulan maklumat kepada kumpulan seterusnya dan menggalakkan perbandingan dilakukan
  • memerlukan penumpuan ke atas subjek dan membantu mendapatkan maklumat dan seterusnya membantu ingatan jangka panjang
Contoh kegunaan praktikal:
  1. Con Edison, pembekal tenaga di kotaraya New York menggunakan Mindmap bagi merancang pembekalan tenaga selepas kemusnahan kota tersebut akibat peristiwa 9/11.
  2. Jurutera rekabentuk di Boeing menggunakan Mindmap bagi tujuan pencurahan idea (brainstorm) di dalam mesyuarat mereka.
  3. Perancangan pembangunan bandar-bandar di negara teluk menggunakan teknik Mindmap.
Apa yang dapat saya rumuskan ialah penggunaan Mindmap di dalam kehidupan dapat meransang kedua-dua belah otak, di mana di dalam teknik Mindmap, anda harus melakar rantaian maklumat (lukisan ranting-ranting) (otak kanan), penulisan maklumat (otak kiri) dan juga penggunaan warna (bergantung kepada individu) (otak kanan). Apabila penggunaan kedua-dua belah otak dilakukan, anda akan melibatkan fungsi kreativiti, pemikiran menyeluruh dan kesenian (otak kanan) dan fungsi penulisan dan penyenaraian maklumat lengkap (otak kiri). Kaedah ini meransang otak untuk lebih kreatif, inovatif, berimaginasi dan melihat sesuatu isu secara menyeluruh.

Bahan-bahan yang sangat murah diperlukan di dalam melakukan Mindmap seperti kertas A4 kosong (atau apa-apa kertas pun boleh), pensil atau/atau pen berwarna, otak anda dan imaginasi anda.

Bagaimana melakukannya? Mudah sahaja - Baca illustrasi dan rujuk rajah di bawah.

Mulakan dengan lakaran di tengah-tengah kertas kerana cara ini memudahkan minda anda berfikir dan menghubungkan idea-idea berkaitan di dalam pelbagai arah dengan bebas. Gunakan lakaran gambar berkaitan isu yang ingin difikirkan. Contoh, anda merancang percutian peribadi atau bersama rakan sekerja, letakkan gambar percutian di tengah-tengah. Ini akan membuatkan proses menjadi lebih menarik dan anda komited untuk memberi lebih penumpuan dan penggunaan kreativiti.

Hubungkan idea permulaan melalui lakaran rantingan-rantingan sehingga membentuk rantingan idea tahap kedua dan tahap-tahap seterusnya. Gunakan pen berwarna di dalam membuat lakaran dan rantingan idea. Proses ini selari dengan bagaimana sel-sel otak bekerja. Neuron-neuron otak akan berhubung antara satu sama lain dan dengan melakar Mindmap, anda akan dapat mengingat dengan mudah.

Gunakan seni imaginasi anda di dalam melakarkan ranting-ranting. Adalah lebih baik menggunakan rantingan yang membengkok dari lurus kerana ini akan menarik minat otak anda. Nasihat saya ialah gunakan satu kata kunci bagi setiap ranting kerana ianya memudahkan anda mencari idea seterusnya. Jika boleh, gunakan gambar-gambar atau lakaran sepanjang anda membuat Mindmap.


Sumber Gambar: Buzan, T (2005) The Ultimate Book of Mind Maps. London: Thorsons

Selamat Mencuba dan Berjaya!

Pasti Anda BOLEH!


.


ZMS

No comments:

Post a Comment