Perbincangan di dalam artikel yang lepas telah menunjukkan lelaki dan perempuan berbeza. Struktur otak yang berbeza telah menyebabkan kelakuan dan cara mereka bertindak berbeza. Otak perempuan dilengkapi dengan saraf Corpus Collosum yang 30% lebih tebal dari otak lelaki. Manakala, lelaki dilengkapi dengan komposisi hormon yang berbeza berbanding perempuan. Lelaki mempunyai hormon testosterone yang banyak berbanding perempuan. Ini menyebabkan kelakuan mereka lebih agresif berbanding perempuan yang memiliki banyak hormon estrogen yang menyebabkan mereka menjadi ratu (queen) yang mengawal persekitarannya.
.
Faktor biologi di atas adalah dipengaruhi oleh fungsi kejadian lelaki dan perempuan. Secara fitrahnya lelaki dijadikan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk seisi keluarga. Lelaki akan keluar memburu dan menggunakan tenaga bagi memenuhi keperluan kejadian mereka. Lelaki akan melindungi ahli keluarga dari segala bahaya. Mereka adalah pelindung. Perempuan pula mendidik dan menjaga anak-anak. Maka, badan dan otak lelaki berkembang dengan cara tersendiri bersesuaian dengan tugas mereka. Struktur otak dan perkembangan badan lelaki dan perempuan adalah secara berbeza.
.
Seperti yang telah kita maklum, lelaki dan perempuan berfikir secara berbeza dan kepercayaan mereka ke atas sesuatu isu juga berbeza. Pendapat, keutamaan dan kelakuan lelaki adalah berbeza dengan perempuan. Ini semua berlaku adalah hasil dari perbezaan kejadian dan otak mereka.
.
Kanak-kanak lelaki membesar dengan cara tersendiri. Jika dibandingkan dengan kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki kurang bercakap dan lambat bercakap dengan sempurna (kanak-kanak lelaki bercakap dengan sempurna ketika usia 3 hingga 6 tahun). Ini adalah disebabkan perkembangan otak lelaki adalah berbeza dengan otak perempuan. Sejak kecil lagi, otak kiri kanak-kanak perempuan berkembang lebih pantas berbanding otak kanan. Otak kiri berfungsi untuk percakapan. Manakala, otak kanan kanak-kanak lelaki berkembang lebih pantas berbanding otak kiri. Jika anda perhatikan kanak-kanak lelaki, mereka lebih gemar bermain permainan yang tidak melibatkan percakapan. Kanak-kanak lelaki lebih senang bermain melibatkan tangan seperti 'puzzle' berbanding kanak-kanak perempuan gemar bermain 'pondok-pondok', 'masak-masak' dan beraksi seperti seorang ibu, dan banyak bercakap.
.
Otak kanan berfungsi di dalam aktiviti atau kemahiran yang tidak melibatkan percakapan. Kadangkala, otak kanan digelar otak seni yang bersesuaian dengan fungsinya seperti seni, idea, kreativiti, visual dan melodi lagu (rujuk lakaran otak di dalam artikel terdahulu). Secara umumnya, lelaki memang cekap menggunakan otak kanan. Maka, lelaki cekap di dalam aktiviti yang tidak melibatkan percakapan dan memerlukan mereka berfikir. Lelaki cekap di dalam membaca peta kerana mereka mampu menggambarkan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan hanya melihat peta dan menggambarkan perjalanannya. Namun, secara amnya, perempuan menghadapi masalah di dalam membaca peta. Perempuan akan membaca peta dengan mudah sekiranya peta 3D diberikan kepadanya. Sekiranya anda memandu (lelaki) dan meminta bantuan perempuan untuk membaca peta bagi memudahkan perjalanan yang mempunyai banyak persimpangan, perempuan yang sedang bercakap dengan meriah akan menjadi senyap sunyi seperti malaikat lalu! Fungsi percakapan mereka 'shut off'. Perempuan mula memusingkan peta ke kiri atau kanan dan ke atas atau ke bawah agar jalan di dalam peta selari dengan jalan di hadapan. Jika lelaki mendesak atau memaksa perempuan membaca peta dengan cepat, perempuan akan marah dan silap haribulan, peta itu akan dicampakkan kepada anda atau ke muka anda sambil berkata 'nah! baca sendiri!'
.
Lelaki gemar memandu dengan laju, memotong secara berbahaya atau mencelah-celah di dalam pemanduan, membawa kereta dengan 'berseni' seperti memandu laju di selekoh tajam atau bermain-main 'gear' kereta. Mat rempit gemar memandu laju dan mengangkat tayar hadapan dan aktiviti-aktiviti lain yang seumpamanya. Semua aktiviti ini tidak memerlukan lelaki bercakap. Sebaliknya, otak kanan lelaki akan bekerja keras dan menghayati aktiviti yang dilakukan. Pada ketika melakukan aktiviti di atas, otak lelaki akan berfungsi dengan cekap dan beroperasi dengan 'seronok'. Lelaki membesar dengan perkembangan otak kanan iaitu otak kemahiran bukan percakapan. Maka, lelaki akan seronok melakukan aktiviti yang tidak melibatkan percakapan. Sebab itulah lelaki seronok pergi memancing dan tidak bercakap selama berjam-jam. Lelaki gembira bermain kapalterbang, helikopter dan kereta kawalan jauh. Setiap aksi dihayati dan otak sentiasa bermain-main atau beroperasi secara optima bagi memastikan setiap gerakan adalah yang terbaik. Bagi lelaki, memandu adalah ujian kecekapan otak, permainan otak dan ianya menyeronokkan. Tambahan pula, lelaki mempunyai banyak hormon testosterone yang menyebabkan lelaki lebih bersikap agresif dan berani ketika memandu dan di dalam melakukan sebarang aktiviti. Bagi perempuan memandu adalah salah satu cara untuk sampai dengan selamat ke sesuatu destinasi. Maka, otak kanan perempuan tidak bermain-main atau seronok ketika memandu. Sebaliknya, percakapan adalah menyeronokkan bagi otak perempuan. Bercakap adalah ujian kecekapan otak perempuan.
.
Apabila lelaki cekap menggunakan otak kanan, otak kiri mereka tidak sehebat perempuan. Lelaki gemar berdiam diri dan bercakap di dalam dirinya (bercakap di dalam otak dan bersembang dengan diri sendiri). Lelaki selalu berdebat dengan diri sendiri dan ini tidak difahami oleh perempuan. Perempuan sangka lelaki tidak berminat dengan mereka atau lelaki mengelamun memikirkan sesuatu yang lain. Ini adalah tanggapan yang salah. Sila rujuk artikel saya yang lalu, di mana lelaki adalah monotrack. Mereka tidak mampu melakukan pelbagai perkara pada satu masa. Maka, jika mereka sedang bercakap kepada diri sendiri, lelaki tidak mampu mendengar dengan sempurna. Ini menyebabkan perempuan bosan kerana apabila perempuan bercakap, lelaki tidak mendengarnya kerana sibuk berdebat dengan diri sendiri di dalam kepalanya. Perhatikan lelaki yang sedang termenung atau sedang berdiri dan melempar pandangan keluar rumah, sebenarnya, mereka sedang berbicara sesuatu di dalam otaknya (atau hatinya). Topik yang difikirkan tidak terbatas dan terpulanglah kepada diri. Perempuan-perempuan, janganlah salah sangka kepada lelaki anda... dan... mereka tidak akan mati kelemasan dengan tidak bercakap. Jangan diganggu lelaki yang sedang berbicara kepada diri sendiri. Namun, perkara begini tidak berlaku kepada perempuan. Sehari tidak bercakap seumpama dunia sudah kiamat!
.
Wassalam
.
ZMS
No comments:
Post a Comment