Monday, January 5, 2009

Cerita Tentang Hormon - Bahagian 1

Kelakuan dan pemikiran manusia dipengaruhi oleh hormon yang hadir di dalam dirinya. Juga, ianya mempengaruhi perkembangan, berat badan, tahap metabolisma, kesuburan dan keseimbangan air di dalam badan. Selain itu, hormon mengawal perubahan di dalam kehidupan manusia seperti akil baligh dan menopause, proses penuaan, keinginan seks (juga keseronokan melakukannya) dan dengan siapa anda jatuh cinta. Ianya mengawal 'mood' dan emosi seperti ketakutan dan kemarahan. Hormon bukan sahaja wujud pada anggota badan, tetapi ianya wujud di semua anggota dan organ termasuk otak. Hormon wujud di otak sejak manusia di dalam perut ibu (janin). Manakala, kesannya boleh terjadi dalam sesaat, sebulan atau bertahun-tahun lamanya.
.
Walaupun terdapat pelbagai hormon yang wujud di dalam diri setiap lelaki dan perempuan, terdapat 2 jenis hormon yang ketara kewujudannya. Hormon testosterone wujud dengan banyaknya di dalam diri lelaki dan impaknya ialah individu tersebut akan bergerak atau melakukan sesuatu dengan pantas, menjadi lebih fokus, jiwa kelelakian, suka mendesak, agresif, kurang menunjukkan perasaan dan kurang membelai mesra. Manakala, hormon oestrogen wujud dengan banyaknya di dalam diri perempuan dan kesannya ialah diri individu yang dihuni dengan banyak hormon ini akan merasakan dirinya seumpama seorang ratu yang berkuasa, mengawal dan dalam kawalan, menjadi pengguna di dalam pelbagai urusan atau perniagaan dan hormon estrogen selalunya hadir secara pakej dengan hormon-hormon perasaan seronok atau baik yang lain sepertidopamine, serotonin, oxytocin, acetylcholine dan norepinephrine.
.
Hormon-hormon di atas berfungsi memprogramkan otak seseorang lelaki dan perempuan. Kedua-dua jenis hormon di atas (testosterone dan estrogen) boleh wujud di dalam diri lelaki dan perempuan, namun, secara amnya, testosterone wujud dengan banyaknya di dalam diri lelaki dan estrogen pula menghuni dengan banyaknya di dalam diri perempuan. Testosterone di dalam diri budak lelaki adalah 15-20 kali ganda banyaknya berbanding kanak-kanak perempuan dan kehadirannya dikawal oleh otak dan bergantung kepada keperluan semasa. Semasa akil baligh, testosterone meningkat naik mendadak dan kesannya dapat dilihat dengan perkembangan pada diri lelaki tersebut. Semasa akil baligh, badan budak lelaki ini menjadi lelaki dewasa yang selalunya aktif di dalam bersukan hasil dari pembinaan sistem pernafasan yang efektif, di mana sel-sel darah merahnya mengangkut oksigen dengan efision dan ini membolehkan diri lelaki ini berlari, melompat dan bertarung. Juga, hormon steroid mula hadir dan lelaki dewasa ini mula menampakkan pertumbuhan otot-otot dan kelebihan 'pertarungan' pada dirinya.
.
Hormon testosterone menyebabkan lelaki lebih agresif bersesuaian dengan fungsinya sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab untuk mencari rezeki buat keluarga. Hormon ini amat penting di dalam menyediakan diri lelaki agar berani menghadapi cabaran dan dugaan, di mana lelaki akan keluar memburu dan bertarung demi mencari rezeki. Hormon ini menyebabkan tumbuhnya janggut, botak, suara menjadi garau dan peningkatan kemahiran bukan lisan.
.
Diri perempuan bertindak balas secara berbeza kepada hormon dominannya iaitu estrogen. Kanak-kanak perempuan memiliki 6 hingga 8 kali ganda lebih hormon estrogen berbanding lelaki. Hormon ini tidak terkawal di dalam diri perempuan berbanding testosterone yang terkawal di dalam diri lelaki. Hormon perempuan ini datang seperti gelombang di dalam tempoh kitaran 28 hari dan ini menyebabkan diri kanak-kanak perempuan tidak menentu hasil dari peningkatan dan penurunan emosinya. Juga, hormon ini mengubah diri perempuan, di mana komposisi lemak meningkat kepada tahap yang membimbangkan dan menggusarkan ramai perempuan iaitu 26%. Tujuan kehadiran banyak lemak ini ialah bagi menyediakan tambahan tenaga bagi tujuan penyusuan dan simpanan makanan bila diperlukan (macam unta pula!?).
.
Para saintis mengkaji dan terus mengkaji fenomena perhubungan antara kanak-kanak seperti mengapa kanak-kanak gemar bermain sesama rakan sama seks. Tiada jawapan yang jelas diperolehi, namun, antara sebabnya ialah kesan hormon. Kemahiran sosial, percakapan dan perhubungan di kalangan kanak-kanak perempuan berkembang pantas berbanding kanak-kanak lelaki. Sebenarnya, perkembangan ini dibantu oleh hormon estrogen di dalam diri perempuan. Cara dan kaedah kanak-kanak perempuan berkomunikasi dan berhubungan adalah berbeza. Manakala, kanak-kanak lelaki menggemari permainan seperti bergusti, bergaduh atau beraksi seperti pertarungan rancangan kartun kegemarannya dan permainan yang kasar seperti kereta, trak, pedang, pistol dan membuat bising seperti bunyi kapalterbang dan bom! Sebaliknya, kanak-kanak perempuan tidak menggemari permainan yang kasar dan akan berhenti bermain jika ianya terjadi. Kajian menunjukkan kanak-kanak perempuan tidak bersaing dan permainannya melibatkan perhubungan yang memberi peluang sesama sendiri dan ini terjadi sebanyak 20 kali lebih banyak berbanding kanak-kanak lelaki. Akhir kata, semua ini berlaku didorong oleh kehadiran hormon di dalam diri lelaki dan perempuan.
.
Saya akan menyambung perbincangan topik ini di dalam artikel-artikel akan datang.
.
ZMS

No comments:

Post a Comment