Wednesday, December 3, 2008

Yakin Diri - Percaya Bahawa Diri Mampu Melakukan Sesuatu Yang Di Pilih

Ramai di kalangan masyarakat berkata mereka yakin pada diri sendiri bahawa mereka mampu melakukan sesuatu bidang yang dipilih. Tetapi, kenyataannya mereka masih ragu-ragu sama ada diri mereka 100% boleh melakukannya. Dalam banyak keadaan, yakin diri tidak disertakan dengan usaha yang konsisten. Mereka cepat jemu dan minda sering bertelagah di antara keyakinan diri untuk melakukan sesuatu dengan kemampuan diri untuk kelangsungan usaha-usaha ke arah pencapaian matlamat. Akibatnya, perasaan jemu mula mengunjungi insan-insan hebat dan mereka secara perlahan-lahan mengakui bisik hati bahawa mereka tidak mampu meneruskan usaha tersebut.

Insan-insan hebat seharusnya memiliki tahap yakin diri yang tinggi dan sentiasa fokus kepada kemampuan diri sendiri. Jangan sekali-kali mencampur adukkan perasaan dan emosi semasa dengan yakin diri. Manusia dianugerahkan dengan hormon-hormon yang mengalir di dalam badan dan hormon ini sentiasa mempengaruhi minda tentang apa yang kita rasa pada sesuatu ketika. Apabila dugaan dan rintangan datang melanda, hormon-hormon dirembes dan diri kita mengalami perasaan tertentu. Pada ketika ini minda membuat keputusan kritikal sama ada tunduk kepada perasaan dan emosi atau kekal teguh dengan yakin diri.

Ramai pakar motivasi bersetuju bahawa teknik bicara kendiri dapat meningkatkan tahap yakin diri ke tahap yang amat tinggi. Teknik ini memerlukan individu berbicara dengan dirinya sendiri. Sebenarnya, kita berbicara dengan 'sub-conscious mind' atau minda separa sedar dan perbicaraan ini harus dilakukan dari masa ke masa. Sentiasa diulang-ulang. Untuk memastikan teknik ini berkesan, skrip perbicaraan atau kata-kata yang kita ingini haruslah ditulis di atas kertas dan kita sentiasa membacanya di awal pagi sebelum memulakan sesuatu dan juga sebelum tidur. Kita memanggil nama sendiri dan beritahu diri tentang apa yang ditulis tadi. Saya akan membincangkan topik bicara kendiri ini dengan panjang lebar di masa hadapan.

Kesan dari bicara kendiri ini ialah tahap keyakinan diri akan meningkat ke tahap yang tidak kita jangkakan. Walaupun sebesar mana dugaan dan rintangan datang melanda, diri anda akan tetap teguh dan percaya bahawa anda mampu melakukannya. Emosi dan perasaan akan gagal mempengaruhi dan perdebatan dalaman diri gagal melemahkan semangat. Anda pasti mampu mengharungi onak dan ranjau berduri untuk maju, terus maju dan sentiasa maju.

ZMS

No comments:

Post a Comment