Baris #1: Aku tidak memilih untuk menjadi seorang insan biasa
Sudah menjadi suatu kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia merendah diri bila berkata-kata atau berbicara. Sikap terpuji tidak membangga diri ini wujud di dalam hampir semua individu. Namun, sikap ini terbawa-bawa hingga kepada keseluruhan kehidupan kita. Di dalam penetapan halatuju kehidupan seperti pelajaran dan karier, masih ramai yang ingin menjadi orang 'biasa-biasa'. Malu bila ingin mengatakan 'saya ingin menjadi luarbiasa'...'saya ingin menjadi orang paling berjaya'. Mampukah anda dan semua berkata di hadapan khalayak bahawa anda mengimpikan menjadi seorang pakar di dalam bidang anda. Justeru, anda mengimpikan pulangan hebat di dalam pekerjaan tersebut.
l
Seharusnya kita cuba merubah cara lama. Di dalam diri setiap individu, setiap apa yang diluahkan atau diperkatakan akan mempengaruhi tindak tanduknya. Bagaimana? Minda manusia terbahagi kepada dua iaitu minda sedar dan minda separa sedar. Minda sedar ialah pemikiran logikal yang boleh dikawal oleh kita. Anda berfikir untuk melakukan sesuatu, dan anggota badan akan melakukan sesuatu bagi mencapai hasrat.
l
Minda separa sedar pula adalah sebahagian besar (90%) dari keseluruhan minda kita. Minda separa sedar sentiasa mendengar apa yang kita katakan. Minda separa sedar tidak tidur dan sentiasa bekerja. Minda ini akan memberi arahan untuk melakukan sesuatu. Jika kita berhasrat untuk menjadi insan luar biasa dan menyatakannya, minda separa sedar merekodnya dan tanpa kita sedar, minda ini akan memberi arahan kepada keseluruhan badan untuk melakukan sesuatu yang luar dari kebiasaan untuk mencapai apa yang dihasratkan. Jika input ke dalam minda ini adalah positif, kesannya ke atas segala perbuatan adalah positif. Sebaliknya, jika input negatif diberikan, maka, seluruh anggota badan akan sentiasa bertindak negatif. Minda separa sedar akan mengawal semua anggota badan termasuk minda sedar. Sebab itulah apabila sesuatu cabaran yang tinggi diajukan kepada seseorang, dengan tidak dijangka atau dirancang, individu tersebut secara automatik menjawab beliau tidak boleh melakukannya atau merasakan dirinya tidak berkeupayaan. Walhal, jika diamati betul-betul, setiap insan di dunia ini mampu melakukan apa sahaja.
Seperkara lagi, minda separa sedar tidak boleh membezakan di antara perkara sebenar atau perkara yang kita impikan dan belum terjadi lagi. Sebab itulah ramai insan-insan hebat terutamanya di dalam bidang jualan sering mengimpikan kejayaan dan menggambarkan kejayaan di dalam minda mereka. Pada ketika mereka belum lagi meraih kejayaan, insan-insan hebat ini menggambarkan di dalam minda mereka bahawa mereka telah berjaya. Mereka mengambil gambar kereta-kereta mewah dan meletakkannya di meja atau di cermin, dan terdapat sebahagian dari mereka meng 'super impose' kan gambar diri mereka di sebelah kereta mewah atau di rumah mewah yang diimpikan. Mereka akan melihat gambar-gambar ini setiap hari dan berkata kepada diri bahawa mereka akan dan telah berjaya. Juga, terdapat teknik di mana individu hebat ini menulis 'pengesahan diri' di atas kertas atau kad sebesar kad nama. Pengesahan diri ini menyatakan apa yang mereka ingini. Kad ini akan di baca setiap pagi dan sebelum tidur. Kaedah ini juga amat berkesan.
Tahukah anda? Apabila individu ini melakukan sedemikian rupa, minda mereka mendengar dan mengarahkan setiap anggota badan untuk melakukan dan bertindak sebagai seorang yang berjaya. Maka, emosi dan anggota badan akan menjadi sangat bertenaga dan berupaya melakukan sesuatu ke arah impian mereka. Ini adalah cerita benar yang telah banyak berlaku. Strategi ini sering dilakukan oleh orang-orang hebat.
Ramai pakar-pakar barat mengulas lanjut tentang isu ini dan mengaplikasikan di dalam kehidupan. Bahkan, atlet-atlet barat diajar dengan ilmu ini. Mereka mempunyai sesi khas untuk mendidik minda separa sedar. Lantas, ramai atlet barat mampu melakukan sesuatu luar biasa.
Berdoalah. Berdoalah. Berdoalah. Dan... berdoa perkara-perkara yang hebat. Masa yang paling baik untuk berdoa ialah ketika malam sunyi sepi, apabila ramai orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Apabila kita berdoa, minda separa sedar kita mendengar apa yang kita minta dari tuhan. Minda separa sedar kita mendengarl dengan tenang dan aman. Setiap patah perkataan dan permintaan kepada tuhan akan masuk ke dalam minda. Sudah pasti anggota badan akan bertindak ke arah impian dan doa.
Maka, jadilah insan yang luar biasa. Jangan sesekali berhasrat menjadi insan biasa. Ini adalah pilihan anda. Kejayaan dan kehebatan adalah suatu pilihan...bukan nasib. Anda boleh memilih untuk berjaya. Anda dilahirkan sempurna dan untuk berjaya, bukan untuk gagal. BERJAYA adalah PILIHAN anda. Anda mampu melakukannya sekiranya anda fikir anda boleh. Apabila diri sentiasa berfikiran positif, nescaya, hidup kita akan bahagia, ceria dan berjaya. Orang yang berjaya adalah orang yang sentiasa fikir BOLEH melakukan apa yang diingini.
ZMS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment