Ramai di kalangan masyarakat di Malaysia mengimpikan kejayaan yang gilang gemilang. Baik di dalam pekerjaan harian mahupun perniagaan. Bagus! Ini adalah salah satu rahsia kejayaan orang yang paling kaya di dunia seperti mana dibincangkan di dalam buku saya "Strategi Paling Berkesan Untuk Berjaya". Telah terbukti, perkara pertama yang perlu dilakukan untuk berjaya ialah seseorang itu harus mempunyai impian. Tanpa impian, kita tidak mampu melakarkan matlamat. Tanpa matlamat, kita gagal menyusun rancangan bertindak jangka masa pendek dan panjang bagi merealisasikan impian yang dibina. Syabas kepada mereka yang mempunyai mimpi-mimpi indah untuk berjaya.
Namun, ramai di kalangan masyarakat tidak menyertakan usaha gigih tanpa mengenal jemu bersama-sama impian. Ramai orang kita hanya bermimpi untuk berjaya. Apabila diperingkat perlaksanaan usaha-usaha ke arah kejayaan, mereka cepat menyerah. Jika hendak kata menyerah kalah, ramai akan marah dan berkata mereka tidak menyerah kalah. Cuma, nasib tidak menyebelahi mereka. Ikut suka hatilah nak kata apa pun. Cuba fikir-fikirkan! Serupa sahaja kan? Jika begini keadaannya, pepatah Melayu 'hangat-hangat tahi ayam' menjadi realiti dan terbukti benar.
Cuba kita fikirkan situasi yang melanda usahawan masa kini. Saya ambil contoh usahawan Multi-Level Marketing (MLM). Ramai di kalangan masyarakat menceburi bidang ini dan di peringkat awal pembabitan mereka, semangat yang berkobar-kobar telah menolak mereka untuk berusaha keras seperti melakukan jualan dan penajaan 'downline'. Namun, semangat ini tidak bertahan lama terutamanya apabila masalah datang melanda. Mereka tersentak dan terus berhenti dari usaha-usaha ke arah kejayaan. Pada peringkat awal, mereka gigih melakukan jualan dan menaja 'downline', namun, apabila penolakan demi penolakan dihadapi, mereka merasa jemu dan ego diri mula menguasai. 'Ah! Susah sangat hendak meyakinkan orang untuk menyertai perniagaan ini, lebih baik aku kekal bekerja seperti dahulu kala. Bekerja makan gaji dan membuat kerja sendiri tanpa perlu memikirkan masalah orang lain!' Masalah-masalah sebegini adalah lumrah kepada perniagaan sebegini rupa. Jika usahawan MLM ini mampu mengawal emosi dan perasaan, masalah sebegini dapat dielakkan. Jika 1, 2, 5, 10 atau 50 menolak atau enggan menyertai anda, pasti orang ke 51 akan bersetuju dengan idea anda. Dunia ini dipenuhi dengan manusia yang kompleks.
Tiada perniagaan di dunia ini yang bebas risiko. Semua jenis perniagaan ada dugaan dan cabarannya. Namakan apa sahaja perniagaan, sudah pasti ada rintangannya. Jika tidak sudah pasti ramai yang akan bertumpu melakukannya. Saya beri masa 2 atau 3 bulan kepada usahawan MLM, sudah pasti, dari 10 orang yang menyertai, 7 atau 8 orang akan perlahan-lahan menarik diri atas alasan jiwa mereka tidak sesuai atau secara berterus terang mereka mengatakan tidak mampu melakukan perniagaan ini. Sebenarnya, mereka gagal melawan emosi atau perasaan yang menyatakan bahawa diri mereka tidak mampu menghadapi dugaan atau cabaran perniagaan. Lantas, minda membuat keputusan untuk menarik diri dan kembali kepada pekerjaan harian atau yang asal yang tiada cabaran dan selesa tanpa perlu berhadapan dengan masyarakat untuk menjual dan menaja 'downline'.
Jelas kelihatan bahawa orang kita kurang atau lemah jati diri. Mereka tidak mampu bertahan lama. Kesan dari situasi ini, muncullah orang yang kreatif dan inovatif di kalangan masyarakat. Mereka mencipta skim cepat kaya untuk golongan majoriti yang bersikap ingin cepat kaya tetapi malas bekerja. Skim cepat kaya sebegini menawarkan kaedah mendapatkan pulangan tanpa berusaha keras. Peserta hanya perlu melaburkan sejumlah wang, dan menunggu untuk suatu tempoh bagi memperolehi pulangan. Peserta hanya perlu mencari ahli-ahli baru yang sedia melabur. Kumpulan berbentuk piramid dibina. Seorang perlu mencari 5 atau 6 orang bawahan, dan perkara sebegini perlu diulang oleh orang bawahan. Dengan cara ini ramai berfikir 'buat apa berusaha menjual barangan dan meyakinkan orang untuk menyertai perniagaan MLM', sedangkan terdapat cara mudah melalui skim cepat kaya.
Perhatikan, dengan mudah mereka berniaga dan mendapatkan pulangan tanpa perlu melakukan jualan secara konvensional. Mereka hanya perlu meyakinkan beberapa orang untuk turut serta program mereka. Maka, bagaimana wang dijana? Bagaimana pulangan dan gandaan wang berlaku? Jika menjual barangan, wang diganda melalui harga jualan melebihi kos. Maka, usahawan akan memperolehi keuntungan jualan dan bonus jualan. Tetapi, di dalam skim cepat kaya, tiada jualan. Yang ada hanya pencarian ahli baru dan secara logiknya wang ahli baru digunakan bagi membayar bonus dan pulangan 'upline'. Lantas, ramai 'downline' diperlukan bagi mendapatkan wang untuk membayar bonus 'upline'. Fikir-fikirkan!
Sampai bila pencarian ahli baru perlu dilakukan. Semua wang orang bawahan digunakan bagi membayar bonus 'upline'. Rantaian ini suatu hari nanti akan pecah kerana apabila bilangan 'upline' semakin bertambah, semakin banyak wang diperlukan bagi membayar bonus dan pulangan untuk mereka. Akhirnya sistem tersebut akan gagal berfungsi dan penganjur bersiap sedia untuk cabut lari. Perkara sebegini telah mereka jangkakan tidak bertahan lama. Mereka telah bersedia dari awal lagi. Sebab itulah kita dapat saksikan banyak skim cepat kaya berkubur. Mereka datang dan pergi dengan cepat, tetapi masih ramai yang mempercayainya atau kadangkala, mereka sengaja mengambil kesempatan dengan harapan pulangan modal diperolehi dan sedikit keuntungan dapat dijana sebelum sistem tersebut lingkup!
Perhatikan! Niat sesetengah orang pada awal sistem ini dimulakan pun sudah tidak betul... Sengaja nak melingkupkan peserta. Janji diri sendiri lepas dan dapat menjana sedikit keuntungan. Fikir-fikirkan!
ZMS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment