Mengapa saya katakan usahawan sejati? Usahawan yang saya temui ini telah melalui pelbagai liku-liku kehidupan sebagai ahli perniagaan. Beliau meningkat naik dari perniagaan kecil-kecilan. Jatuh bangun diharungi dengan gagah.
Beliau adalah seorang jurutera bertauliah yang pernah bekerja dengan MARA. Saya berbicara dengan beliau dengan tujuan mempromosi buku terbaru saya kerana beliau mempunyai ramai usahawan-usahawan di bawah didikan dan jagaannya. Saya menunggu beberapa ketika kerana beliau sedang melayan tetamu. Apabila selesai bertemu dengan tetamunya, saya disapa ramah oleh beliau. Orangnya tidak tinggi atau rendah, tidak gemuk... yang sedang-sedang sahaja. Tidak berlagak atau ego, beliau hanya bersahaja dan tidak menunjuk-nunjuk kejayaannya.
Perbincangan berjalan lancar dan saya dapat merasakan aura usahawan ini. Di akhir perbincangan, beliau menceritakan bagaimana beliau menghadapi kegawatan ekonomi tahun 1997/98. Perniagaan merudum dan beliau kerugian lebih RM1 juta. Kerugian ini ditanggung sendiri. Namun, beliau bangkit semula dan meneruskan usaha-usaha murni dan akhirnya berjaya melunaskan hutang dalam tahun 2004.
Peristiwa ini telah menjadi pelajaran yang amat berharga buat beliau, dan kini, beliau mengembangkan perniagaan kepada bidang yang beliau pakar, di samping perniagaan yang beliau telah usahakan sekian lama.
Analisis rambang saya ialah saudara usahawan ini mempunyai resipi kejayaan yang konsisten dengan orang paling kaya di dunia (seperti dalam buku tulisan saya yang terkini) iaitu impian, matlamat, yakin diri, berani gagal/berjaya/menerima tanggungjawab dan sebagainya.
Tahniah! Saya bangga bertemu dengannya. Saya dapat belajar sesuatu dan semakin bersemangat untuk sama-sama menggalas tanggungjawab di dalam dunia perniagaan.
ZMS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment