Wednesday, January 14, 2009

Perempuan: "Cakaplah Masalah Awak"... Lelaki: "Sibuklah Awak Ni"

Sememangnya kedua-dua jantina tidak perasan bahawa mereka berbeza. Ramai perempuan mahukan lelaki bersikap seperti mereka. Perempuan mahukan lelaki banyak bercakap, banyak mendengar dan bukannya baru cakap sedikit sudah memberikan penyelesaian kepada apa yang dibicarakan. Seperti di dalam artikel yang lepas, saya ada menulis bahawa perempuan gemar mengupas masalah yang dibincangkan satu per satu. Jawapan atau penyelesaian tidak penting. Yang penting ialah bercakap tentang masalah selama mungkin. Yang peliknya lelaki tidak bersikap sedemikian rupa. Mengapa?
.
Secara fitrahnya, lelaki yang menjadi ketua keluarga akan keluar rumah bagi mencari rezeki. Kejadian lelaki ialah menjadi seorang yang teguh hati dan kuat semangat bagi menghadapi dugaan di luar rumah. Maka, kejadian otak dan badan adalah bagi memenuhi keperluan ini. Lelaki perlukan perasaan dan pemikiran bahawa dirinya berkelayakan dan mampu menyelesaikan segala masalah yang dipersembahkan kepadanya. Lelaki sentiasa merasakan dirinya mampu menyelesaikan masalah sendiri dan menceritakan masalah diri kepada orang lain seolah-olah menceritakan kelemahan diri kepada dunia. Lelaki sukar berkongsi masalah dengan orang lain, inikan pula dengan teman wanita atau isteri dan orang sekelilingnya. Berkongsi atau bercerita masalah diri bagi seseorang lelaki akan menyebabkan lelaki tersebut berfikiran bahawa dirinya tidak berkemampuan menyelesaikan masalah diri dan lelaki itu merasakan orang lain akan memandang rendah kepadanya kerana gagal menyelesaikan masalah sendiri. Walaupun dengan rakan karib, lelaki sukar membincangkannya melainkan dirinya yakin bahawa rakan tersebut mempunyai jawapan atau penyelesaian yang lebih baik. Situasi sebegini menggusarkan perempuan. Bagi perempuan, masalah harus dikongsi, diceritakan dan diperdebatkan. Perempuan tidak senang duduk apabila melihat lelaki seolah-olah mempunyai masalah atau duduk berdiam diri memikirkan masalah diri.
.
Biarkan lelaki bermasalah duduk menyendiri dan berfikir. Jangan mendesak lelaki bercerita masalah mereka atau cuba mencadangkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi lelaki. Orang lelaki akan rasa tersinggung seolah-olah dirinya tidak mampu atau lemah dalam menguruskan diri. Beritahu lelaki bahawa anda yakin mereka mempunyai kemampuan diri untuk menyelesaikan masalah. Tunjukkan kepada lelaki bahawa anda 'confident' dengan kehebatan diri mereka. Ini yang mereka perlukan dan bukannya kritikan atau 'bising' dari perempuan.
.
Lelaki akan melihat cadangan kepada masalah atau perbincangan tentang perasaan mereka sebagai suatu kritikan yang tidak membina. Lelaki akan merasakan cadangan sebagai petanda dirinya lemah dan orang lain berpendapat dirinya tidak mampu menyelesaikan masalah diri. Sebenarnya, bagi perempuan, bercerita tentang masalah dan cadangan atau nasihat adalah satu kaedah membina perhubungan dan keyakinan...
.
ZMS
.

No comments:

Post a Comment