Masih sangsi bahawa otak, sistem pendawaian dan aksesori yang ada pada lelaki dan perempuan adalah berbeza? Percayalah... lelaki dan perempuan memang berbeza. Kita melakukan sesuatu yang sama tetapi dengan cara yang berbeza. Anda perlu dan kena faham perbezaan ini bagi mengelakkan perselisihan faham dari terus berlaku. Lelaki tidak boleh melakukan pelbagai perkara serentak, maka, sebab itulah lelaki menjadi 'pekak' apabila menonton TV (terutamanya apabila menonton program kegemarannya sendirian). Dan, perempuan menjadi alat pelbagai guna, di mana semasa menonton TV, perempuan boleh memakan kacang sambil bercakap dan mampu mendengar orang lain mengumpat tentang dirinya. Wah! Hebat betul perempuan-perempuan kita ni... Inilah keajaiban dan kehebatan ciptaan tuhan. Mengapa? Lelaki dan perempuan dijadikan berbeza kerana tuhan telah menentukan setiap dari kita ada fungsinya. Kejadian asal lelaki adalah untuk menjadi ketua keluarga yang akan keluar memburu dan mencari nafkah untuk dibawa pulang. Maka, aksesori dirinyanya mestilah seiring dengan tugasnya. Hendak menangkap binatang buruan atau hendak ke medan perang haruslah fokus! Mangsa haruslah diperhatikan tanpa gangguan. Manakala, perempuan dijadikan sebagai ibu yang menjaga anaknya dari sebarang ancaman dan bahaya. Tiada seekor nyamuk atau lain-lain ancaman yang boleh menghampiri anaknya. Perempuan harus peka kepada setiap perubahan persekitarannya. Oleh itu, otak dan lain-lain struktur badan haruslah seiring dengan keperluan kejadian lelaki dan perempuan.
-
Perhatikan, lelaki yang keluar memancing akan merasa puas dengan menunggu ikan memakan umpannya selama berjam-jam lamanya dengan tidak berkata-kata. Sebaliknya, perempuan yang menemani pasangannya memancing (terutamanya jika kali pertama) akan merasa bosan kerana sering ditegur dari bercakap yang kononnya akan menggangu ikan dari memakan umpannya. Di dalam situasi lain, lelaki yang menonton bolasepak bersama rakannya akan duduk diam sambil mengunyah kacang (kunyahan makin laju jika bola digelecek dan ditendang kencang) dan hanya menjerit 'gol' apabila jaringan dilakukan. Sesekali mereka bercakap meminta air dan kacang. Berbanding perempuan yang duduk bersama ibu mertua dan ahli keluarga perempuan yang lain, jika mereka semua senyap dan tidak berkata-kata, maka, sudah pasti perang dunia atau masalah besar sedang berlaku!
-
Satu kajian yang dilakukan di Harvard University telah membuktikan bahawa kita berkelakuan berbeza terhadap bayi lelaki berbanding bayi perempuan. Bahkan, perkataan yang digunakan terhadap bayi lelaki dan perempuan juga adalah berbeza. Perkataan-perkataan yang lembut dan lebih menggambarkan perempuan digunakan ketika berkomunikasi atau menggambarkan bayi perempuan. Antaranya, 'cantiknya', 'manisnya' dan pelbagai perkataan lain bersesuaian dengan perempuan. Manakala, bagi bayi lelaki, kita menggunakan perkataan yang bersesuaian dengan kelelakiannya seperti 'gagah', 'big boy', 'anak teruna' dan lain-lain. Juga, hadiah yang diberikan untuk bayi yang baru dilahirkan atau ketika harijadi mereka juga berbeza. Bayi perempuan akan dihadiahkan pakaian dengan warna bersesuaian dan mainan seperti anak patung Barbie atau 'bear doll' diberikan. Berbanding bayi lelaki, warna-warna yang lebih garang dan mainan seperti pistol, senapang, Ben 10, Spiderman yang bersesuaian dengan kejadiannya sebagai lelaki diberikan.
-
Apabila bayi-bayi ini membesar, kelakuan mereka berbeza bersesuaian dengan jantina mereka. Kanak-kanak perempuan petah dan mampu bercakap awal berbanding kanak-kanak lelaki. Mengapa? Otak kiri kanak-kanak perempuan berkembang lebih pantas berbanding otak kanan mereka. Maka, mereka petah bercakap (otak kiri berfungsi untuk percakapan / perkataan) dan cekap bercakap seawal umur 2 atau 1 1/2 tahun. Jika anda berkomunikasi dengan kanak-kanak perempuan, mereka boleh bercerita dengan lengkap dan menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa dengan jelas. Anda akan mendapati perbezaan yang ketara apabila anda berkomunikasi dengan kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak lelaki mula bercakap dengan sempurna pada usia yang agak lambat. Tidak mustahil kanak-kanak lelaki bercakap dengan sempurna pada usia 5 tahun. Sekali lagi, mengapa keadaan begini boleh terjadi? Perkembangan otak kanan kanak-kanak lelaki lebih pantas berbanding otak kiri. Perhatikan kanak-kanak lelaki. Mereka bermain di suatu sudut dan permainan mereka tidak melibatkan percakapan. Apabila ditanya 'sudah makan', jawapan yang diberikan juga ringkas. Sepatah atau dua patah perkataan sahaja. Sejak kecil lagi kanak-kanak lelaki tidak berapa cekap bercakap berbanding kanak-kanak perempuan. Apabila dewasa, lelaki kurang dan tidak cekap bercakap berbanding dengan perempuan. Lelaki akan sering tewas apabila bertengkar dengan perempuan kerana perempuan cekap menggunakan perbendaharaan kata yang telah dikumpul sekian lama.
-
Disebabkan perempuan mempunyai pendawaian yang lebih hebat (corpus collosum 30% lebih tebal) berbanding lelaki, otak kiri dan kanan mereka dihubungkan dengan baik. Otak kiri berfungsi untuk percakapan dan otak kanan berfungsi untuk kreativiti dan seni. Perempuan bukan sahaja petah dan cekap bercakap, perkataan yang digunakan hebat dan berseni. Maka, di dalam sesetengah keadaan, pertengkaran lelaki dan perempuan akan menjadi lebih agresif. Perempuan menggunakan pelbagai perkataan lengkap dengan seninya, tetapi, lelaki yang gagal mematahkan setiap perkataan perempuan akan naik berang dan menjadi agresif, dan mula melakukan keganasan seperti menampar dan memukul. Nasihat saya ialah berhati-hati dengan kehebatan anda. Gunakan dengan cara yang terbaik!
-
ZMS
No comments:
Post a Comment