Friday, January 2, 2009

Lelaki Oh Lelaki... Perempuan Oh Perempuan...

Ramai yang beranggapan bahawa lelaki dan perempuan adalah sama dan serupa. 100% serupa. Akibatnya, mereka menjangkakan lelaki dan perempuan mempunyai kemahiran yang sama, sikap dan potensi yang serupa. Dengan itu, kita sering menyaksikan perselisihan faham yang tidak sepatutnya berlaku.
.
Masalah pokok di dalam sesebuah perhubungan lelaki dan perempuan ialah kita berbeza. Lelaki begini, perempuan begitu. Mereka melakukan perkara yang sama tetapi dengan cara yang berbeza. Jangan salah anggap dengan apa yang saya katakan. Walaupun saya lelaki, saya tidak mengatakan lelaki adalah bagus ataupun perempuan adalah bagus. Yang penting di sini ialah tiada siapa (lelaki atau perempuan) yang baik atau buruk - kita berbeza!
.
Ramai di kalangan kita tidak memahami perbezaan lelaki dan perempuan. Masing-masing menganggap pasangan atau jantina yang berbeza harus melakukan sesuatu seperti mereka, tetapi, hasilnya menghampakan. Saintis, ahli politik, ahli perniagaan, pekerja, suri rumah, akauntan, jurutera dan lain-lain perlu faham dan menggunakan ilmu ini di dalam kehidupan agar segala tindakan atau polisi mengambil kira perbezaan di antara lelaki dan perempuan.
.
Secara sinis boleh saya katakan lelaki dan perempuan adalah 'spesis dari dua planet yang berbeza'... 'planet asal mereka memang jauh sekali'... Disebabkan planet mereka jauh berbeza, mereka mempunyai kepercayaan dan nilai-nilai berbeza, dan juga undang-undang dan peraturan yang berbeza. Apabila duduk berbincang, lelaki dan perempuan sering bertelagah tentang pendapat pasangannya yang kononnya tidak sehebat pandangan dirinya. Kelakuan, sikap dan kepercayaan yang berbeza di antara kedua-dua spesis ini juga mengundang perselisihan.
.
Lelaki sering mendominasi tv 'remote control' dan sering menukar-nukar siaran terutamanya ketika iklan. Lihat pula kepada perempuan, mereka setia dan sabar melihat iklan-iklan di tv walaupun kadang-kadang lelaki begitu teruja untuk menegur perempuan agar menukar siaran atau rancangan pada ketika itu. Perempuan boleh berpegang tangan dan mengusap-usap tangan rakan perempuan di depan khalayak ramai. Tetapi, lelaki yang memegang dan mengusap-usap tangan rakan lelakinya akan dipandang serong oleh masyarakat. Semua orang yang lalu-lalang di kawasan tersebut akan melihat pasangan 'janggal' yang saling 'meraba' sesama sendiri. Silap haribulan lelaki-lelaki itu akan di ceramah oleh Pak Aji yang menyaksikannya. Lelaki yang memegang tangan sambil mengusap tangan lelaki yang tidak mesra dengannya mungkin di tumbuk atau dimaki disebabkan kelakuan yang tidak 'senonoh' itu. Meremang bulu roma saya jika rakan lelaki saya bersalaman dan meletakkan pipinya ke pipi saya... pipi kiri, pipi kanan... tak cukup lagi pipi kiri semula sambil berkata 'muah...muah...'. Tetapi, amalan bersalaman sambil meletakkan pipi kiri, kanan, kiri adalah sesuatu kebiasaan dan menunjukkan kemesraan di kalangan perempuan.
.
Lelaki mampu membaca peta dengan pantas dan menggambarkan di dalam kepala otaknya tentang perjalanan yang dirancang. Jangan dipaksa perempuan membaca peta dengan segera, nescaya perempuan yang petah dan rancak bercakap akan terdiam serta merta dan mula merenung dalam-dalam ke dalam peta. Perempuan mula memusingkan peta ke kiri, kanan, atas dan bawah agar jalan pada peta selari dengan jalan yang di tuju. Jika lelaki terus mendesak, langkah yang selalu dibuat ialah perempuan akan kata 'baca sendiri!', dan jika angin mereka memuncak, peta itu akan dicampakkan kepada anda atau muka anda.
.
Lelaki sering duduk berdiam diri apabila bermasalah. Lelaki bercakap-cakap kepada diri sendiri di dalam hati / kepalanya. Apabila telah menemui jawapan, barulah beliau bercakap. Pelik! Sebaliknya, perempuan akan sering bercakap tentang masalah mahupun idea. Mereka akan sering mencari pasangan atau rakan untuk bercerita tentang masalah. Berhati-hati! Perempuan bercerita tentang masalah yang dihadapi dengan harapan lelaki bercerita bukan menyelesaikannya. Cerita tau! Walapun tidak dapat menyelesaikannya, dengan bercerita panjang lebar tentang masalah yang dihadapi, perempuan akan lega! Cerita tentang masalah bukan seperti lelaki menyelesaikan masalah baru lega. Lelaki tidak faham tentang perkara ini. Jika perempuan bercerita tentang masalah, lelaki cepat-cepat memberi jawapan kepada masalah. Silap la tu... Perempuan akan suka jika masalah itu diceritakan dan dibesar-besarkan... meningkat naik dan tiada jawapan pun tidak mengapa.
.
Dan, banyak lagi situasi-situasi mencuit hati atau menyakitkan hati hasil dari perbezaan lelaki dan perempuan. Nantikan penulisan saya seterusnya.
.
Namun, apakah yang menyebabkan lelaki berbeza dengan perempuan? Tidak lain, tidak bukan ialah pendawaian dan struktur bina otak mereka. Hormon yang ada di dalam diri lelaki dan perempuan juga berbeza. Tunggu!!!!
.
ZMS

No comments:

Post a Comment