Ingatkan semula pertama kali anda bertemu seseorang yang istimewa di dalam hidup anda. Sungguh indah pertemuan tersebut... Jantung berdegup kencang rasa macam nak pecah... perut berpusing-pusing... tangan berpeluh... ada yang peluh jantan muncul di dahi... tak sedap badan dibuatnya... tidur tak lena... tiada orang lain yang berkunjung di dalam mimpi anda selain si DIA... pegang yang itu tak kena, yang ini pun tak kena, semuanya tak kena... hanya si DIA berlegar-legar di dalam kepala dan di depan mata!
.
Bila anda keluar 'dating', terasa diri ringan dan seakan terbang di awang-awangan seumpama cebisan kertas ditiup angin. Anda 'cair' bila si DIA mengucapkan perkataan-perkataan indah atau melemparkan jelingan dan kerdipan mata yang diharap-harapkan. Hari-hari berikutnya terasa indah dan masa berlalu begitu pantas. Jika anda ingat-ingatkan... demam atau sakit biasa hilang dengan sendirinya ataupun anda sihat sepanjang masa dan sukar bagi virus demam menghinggapi diri anda. Diri anda kebal dari penyakit yang tidak penting itu... Orang di sekeliling anda pun perasan yang anda menjadi ceria, peramah dan semuanya berbahagia.
.
Kajian otak menunjukkan peristiwa 'Jatuh Cinta' melibatkan pelbagai tindakbalas kimia (hormon) yang berlaku di dalam otak manusia. Akibatnya, mental dan fizikal badan bertindak balas seiring dengan tindak balas kimia yang begitu membahagiakan. Penulis terkenal, Pease, melaporkan Pert (1999) menjalankan kajian peristiwa 'Jatuh Cinta' dan menemui neuropeptides, iaitu rantaian asid amino berlegar-legar ke sekeliling badan dan menghampiri kepada neuron-neuron otak dan kesannya ialah tercetusnya reaksi emosi yang gembira/ceria dan sentiasa terbuka kepada pandangan dan pelbagai isu. Pendek kata, si pencinta akan memiliki emosi cinta, harapan, gembira, menanti, mengelamun dan terbang jauh menghampiri si dia, dan semua ini berlaku kerana tindakbalas bio-kimia di dalam badan.
.
Pakar-pakar dan penyelidik menemui pelbagai tindakbalas kimia yang berlaku di dalam badan manusia yang sedang 'angau' jatuh cinta. Antara bahan kimia yang dirembes/dikeluarkan sehingga menyebabkan kejadian serba tidak kena kepada 'sang pecinta' ialah 'phenylethylamine' (PEA) yang bekerjasama dengan 'amphetamines'. Komponen-komponen bahan kimia ini boleh di dapati di dalam coklat (chocolate). Bagi pencinta coklat, bagaimana nikmatnya memakan coklat (bukan macam orang kedah... mereka panggil gula-gula sebagai coklat). Sungguh nikmat... sungguh indah. Bahan kimia inilah yang menyebabkan si empunya diri rasa tidak sedap duduk... jantung berdegup kencang, berdebar-debar. Juga, kejadian jantung berdegup kencang dan lain-lain situasi di atas adalah disebabkan hormon adrenalin yang menyebabkan diri anda rasa hebat, ceria dan mampu melakukan apa sahaja. Sebab itulah sang pencinta mampu meluahkan 'lautan api akan ku rengangi', 'ambil kapak, belah dadaku', 'ke gunung akan ku daki', dan macam-macam lagilah yang hebat-hebat yang diluahkan dan mereka rasakan mampu dilaksana. Benar! Masa inilah 'mat dan minah angau' rasa hebat dan tidak nampak orang lain. Rasa seronok sepanjang masa. Ke sana, sini berkepit berdua. Orang lain sudah tidak cantik. 'Dikau lah pujaan hati'... dia sorang je yang cantik... yang lain semuanya hodoh belaka! Hebat betul pukulan hormon cinta ini.
.
Juga, semasa sedang 'angau bercinta', hormon endorphins dirembes (dikeluarkan) ke dalam badan. Hormon ini membina sistem imunisasi badan dan mampu memulihkan demam. Terdapat kajian di barat yang membuktikan orang yang bercinta, jatuh cinta atau sentiasa ada perasaan cinta dengan pasangan sepanjang hayat memiliki kesihatan yang baik dan sukar dihinggapi penyakit berbanding orang yang sentiasa tiada perasaan cinta di dalam dirinya. Haaa... apalagi forwardkan cerita ini kepada pasangan anda agar cinta berputik kembali demi kesihatan berpanjangan. Cuma, sesetengah lelaki tidak suka diberitahu (ego la tu!), maka, anda forward sahaja dan biarkan beliau membaca sendiri. Seperkara lagi, apabila pasangan suami isteri bercumbu, otak pasangan ini secara otomatik membuat analisis kimia ke atas air liur masing-masing dan dengan pantas membuat keputusan keserasian genetik.
.
Setelah bercerita panjang lebar, kesimpulannya ialah untuk sentiasa sihat, buangkanlah sifat amarah yang ada di dalam jiwa. Jangan tergesa-gesa, 'live under pressure', hidup dalam gelisah, marah-marah terutamanya kepada pasangan kerana di situlah lubuk cinta... tempat pemulihan kesihatan semula jadi. Anda boleh sihat tanpa makan ubat... iaitu sentiasa mempunyai perasaan cinta kepada pasangan, cinta kepada apa yang anda lakukan, dan sebagainya. Tiada gunanya hidup dengan dibayar gaji 3,000, 5,000, 7,000 atau 10,000 mahupun 30,000 dan akhirnya dihinggapi penyakit yang pelbagai jenis akibat dari hilangnya perasaan cinta dan hidup di dalam tergesa-gesa dan penuh dengan sifat amarah.
.
Dicintai dan mencintai adalah baik untuk kesihatan.
.
ZMS
.
Nota: Nantikan perbincangan berhubung hormon seks. Bagaimana hormon seks menjadi pembaik pulih badan. Hormon yang dirembes di dalam badan ketika seks adalah pembaikpulih kesihatan dan seumpama panadol yang merawat sakit kepala secara semulajadi. Tunggu!!!
No comments:
Post a Comment